Shell berhasrat lupus kepentingan dalam Baram Delta di Sarawak | DagangNews Skip to main content

Shell berhasrat lupus kepentingan dalam Baram Delta di Sarawak

 

KUALA LUMPUR 12 Mac - Syarikat minyak dan gas, Shell sedang meneroka pilihan untuk melupuskan kepentingan tidak beroperasinya dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Baram Delta EOR Pindaan 2011 dan PSC SK 307 di Sarawak. 

 

Ini sebahagian daripada usaha rasionalisasi portfolio global kumpulan itu, jelas Shell Malaysia dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Aset-aset itu terletak di luar pesisir Sarawak yang dikendalikan oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. selain Sarawak Shell Berhad - rakan kongsi bukan pengendali.

 

“Keputusan ini sejajar dengan strategi kumpulan Shell bagi perniagaan huluannya untuk menjadi lebih tertumpu dan meningkatkan kemampanan serta daya saingnya.

 

“Shell Malaysia kekal komited untuk menyokong pengendali (aset itu) dalam melaksanakan operasi yang selamat dan lancar sehingga jualan selesai kepada pembeli yang layak,” jelas syarikat itu menurut laporan Bernama.

 

Di sebalik hasrat itu, syarikat minyak dan gas berkenaan masih melihat Malaysia sebagai negara penting kepada kumpulan Shell dengan kehadiran yang kuat dalam huluan, gas ke cecair, hiliran dan sektor operasi perniagaannya. 

 

Tambah kenyataan itu, perniagaan huluan di Malaysia juga telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada sembilan unit prestasi teras Shell di seluruh dunia.

 

Untuk rekod, Shell telah bertapak di Malaysia selama 130 tahun, menyumbang kepada kejayaan industri tenaga dan pembangunan bakat serta komuniti Malaysia.

 

Katanya, Shell akan terus memainkan peranan penting dalam memperkasa masa depan negara dengan penyelesaian tenaga yang lebih bersih, inovatif dan berdaya saing. - DagangNews.com