Sheng Tai sediakan dana RM10 juta bantu industri francais | DagangNews Skip to main content

Sheng Tai sediakan dana RM10 juta bantu industri francais

LEONG SIR LEY (kanan) bersalaman dengan Dr. Radzali Hassan selepas bertukar-tukar dokumen perjanjian antara Sheng Tai International dengan MFA di Petaling Jaya.



Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

PETALING JAYA 3 Sept. – Sheng Tai International Sdn Bhd (Sheng Tai International), syarikat pemaju tempatan yang memenangi anugerah dan pakar yang terbukti di dalam hartanah pelancongan, hari ini melancarkan dana sebanyak RM10 juta bagi menyokong pertumbuhan industri francais di Malaysia.

Dana tersebut terbuka kepada keseluruhan komuniti francais yang menjadi ahli kepada Persatuan Francais Malaysia (MFA). Ini merangkumi francaisor, bakal francaisor, francaisi induk, bakal francaisi induk selain pembekal dan vendor francais.

Pelancaran dana tersebut dimeterai pada majlis menandatangani perjanjian antara Sheng Tai International dan MFA, yang masing-masing diwakili oleh Datuk Leong Sir Ley, Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International dan Datuk Dr. Radzali Hassan, Pengerusi MFA.

Datuk Leong Sir Ley, Pengasas dan Pengerusi Sheng Tai International, berkata, landskap operasi perniagaan hari ini yang tidak pernah wujud selama ini, mendatangkan pelbagai jenis cabaran untuk usahawan dan ahli perniagaan tempatan.

“Sheng Tai International berada di kedudukan yang unik dimana Sheng Tai International berkemampuan untuk menyediakan sokongan kepada komuniti perniagaan tempatan kerana kami dapat menggunakan kelebihan dari segi aset hartanah kami yang terletak di tempat strategik, kehadiran kami di negara China dan negara-negara lain, pengalaman kami dari segi penjualan dan pemasaran selain daripada rangkaian vendor dan pembekal kami yang luas di Malaysia mahupun di luar negara.”

“Dana ini bertujuan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada industri francais supaya perniagaan mereka dapat mengatasi kesukaran yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan pada masa sama, merebut peluang untuk meluaskan lagi perniagaan mereka, malah melangkaui sempadan Malaysia,” kata beliau.

Ahli-ahli MFA yang memenuhi terma-terma tertentu boleh memperoleh akses kepada bantuan kewangan bebas faedah sehingga RM200,000 apabila mereka membuka outlet di satu daripada projek Sheng Tai International di Malaysia, iaitu The Sail  dan Metrasquare, Melaka. Fi sewaan bagi enam (6) bulan yang pertama akan dikecualikan dan rebat sewaan bagi enam (6) bulan seterusnya akan diberikan berdasarkan kepada perkongsian perolehan atas asas sewaan, yang mana lebih rendah.

Dari segi bantuan pemasaran, ahli-ahli MFA akan boleh memasarkan produk mereka di One Stop Centre Sheng Tai International yang berada di Kuala Lumpur, Jepun, Hong Kong dan Shanghai dan juga rakan-rakan media untuk suatu tempoh masa selain daripada menyertai "Program Keahlian Pesat Membangun-Sheng Tai World Card Membership", yang kini mempunyai lebih 50,000 ahli.


Datuk Dr. Radzali Hassan, Pengerusi MFA, berkata, tahun 2020 merupakan tahun yang sukar bagi semua terutama industri runcit dan francais. dengan banyak perniagaan terjejas teruk semasa Perintah Kawalan Pergerakan dipertingkatkan.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, segmen makanan dan minuman telah menjunam sebanyak 70% manakala sektor pendidikan menyusut sebanyak 80% semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Walaupun operasi penuh tidak dijalankan, gejala-gejala seperti kekurangan tenaga kerja, gangguan rantaian bekalan dan penanggungan kos operasi disebabkan gejala-gejala tersebut masih berlaku.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Sheng Tai International untuk inisiatif yang bermakna ini. Kami amat yakin bahawa ini akan menyumbang kepada penggalakkan industri runcit dan francais negara,’’ kata Datuk Dr. Radzali Hassan. - DagangNews.com