Shopee perlu kemuka justifikasi kepada MyCC berhubung aduan orang ramai terhadap perkhidmatan penghantaran | DagangNews Skip to main content

Shopee perlu kemuka justifikasi kepada MyCC berhubung aduan orang ramai terhadap perkhidmatan penghantaran

KUALA LUMPUR 21 Okt - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengadakan perjumpaan bersama Shopee Mobile Malaysia Sdn. Bhd. pada Rabu lalu berikutan peningkatan ketidakpuasaan hati orang ramai terhadap perkhidmatan penghantaran yang ditawarkannya.

 

Pada masa sama, libat urus itu diadakan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai industri platform dalam talian dan industri logistik yang menyediakan perkhidmatan penghantaran permulaan dan terakhir untuk platform berkaitan.

 

Shopee kini dikehendaki memberikan MyCC justifikasi terhadap perlakuannya dan cara bagaimana isu ini akan ditangani secara dalaman dengan jelas tanpa menjejaskan kepentingan pengguna menjelang akhir Oktober 2022.

 

MyCC juga akan meneruskan usahanya dalam memantau pemain-pemain industri lain yang beroperasi dalam pasaran yang sama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana perusahaan yang disyaki
melanggar perundangan persaingan. 

 

Katanya, platform pasaran dalam talian perlu menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pengguna sedia ada memandangkan ekonomi digital adalah cara masa depan untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

 

"Kami memahami cabaran semasa yang dihadapi oleh pemain-pemain industri. Bagaimanapun, ia tidak seharusnya menghalang mereka daripada memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna. 

 

"Dalam hal ini, kami akan meneruskan usaha kami untuk memantau dengan secara dekat tingkah laku mereka pada masa hadapan dalam menangani isu-isu terkini dan isu persaingan yang berkaitan dengan platform tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

MyCC mengalu-alukan dan mengambil maklum inovasi yang dihasilkan oleh pemainpemain industri yang telah meningkatkan secara drastik pengalaman membeli-belah secara atas talian untuk semua rakyat Malaysia. 

 

Namun, suruhanjaya itu juga percaya bahawa pemain industri perlu mengawasi tentang tingkah laku mereka sendiri dalam industri dinamik ini yang mungkin boleh menimbulkan sebarang isu persaingan dan menyebabkan kemudaratan kepada pengguna platform termasuk pembeli-pembeli akhir dan peniaga-peniaga. - DagangNews.com