Shoraka DV, Kennlines bekerjasama kembangkan perniagaan fintech ke Indonesia | DagangNews Skip to main content

Shoraka DV, Kennlines bekerjasama kembangkan perniagaan fintech ke Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - Shoraka Digital Ventures (Shoraka DV), syarikat teknologi digital yang bertumpu kepada teknologi kewangan (Fintech) mengembangkan perniagaannya ke Indonesia dengan bekerjasama dengan PT Kennlines Capital Indonesia (Kennlines).

 

Shoraka DV merupakan cabang teknologi digital kumpulan Shoraka, yang diasaskan di Dubai dengan tumpuan perniagaan kepada nasihat kewangan di rantau Asia Tenggara dan Asia Barat.

 

Sejak penubuhannya, kumpulan itu telah mengembangkan aktiviti perniagaannya ke dalam pembinaan, hartanah, teknologi digital, pendidikan dan industri tenaga.

 

Kennlines merupakan syarikat pelaburan Indonesia yang memberi fokus kepada infrastruktur, perusahaan, digital serta khidmat nasihat dan telah mentakrifkan portfolionya dalam aspek menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara itu.

 

Pengasas Kumpulan Shoraka, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail berkata, usaha itu adalah kerjasama strategik bersama Kennlines dengan sebelum ini mereka pernah bekerjasama dalam beberapa aspek peniagaan lain kumpulan itu.

 

"Kami berhasrat untuk memanfaatkan kemahiran masing-masing menerusi penyelesaian fintech kami dan rangkaian tempatan Kennlines untuk membuka pasaran baharu di Indonesia," katanya dalam satu kenyataan selepas menandatangi perjanjian kerjasama di Jakarta, baru baru ini.

 

Hadir sama Pengerusi Kennlines Capital, Mirza Whibowo Soenarto; Pengarah Eksekutif Kumpulan Shoraka, Wan Ahmad Nazim Mohamed Noor dan Pengarah Urusan Shoraka DV, Johar Amat.

 

Shoraka DV merancang untuk membawa beberapa produknya ke pasaran Indonesia iaitu Platform Re-Rahnu (Platform Shoraka Suyula), Platform Pemfaktoran Invois (Shoraka QuickFactor) dan Platform Dagangan Komoditi Tawarruq (Shoraka Al-Amin) tertakluk kepada kelulusan domestik yang diperlukan.

 

Sementara itu, Johar berkata, Shoraka DV akan menyediakan penyelesaian produk yang bersesuaian dengan pasaran tempatan dan pada masa sama menambah baik sistem mengikut keperluan semasa.

 

"Kami di Shoraka DV sentiasa berusaha untuk memperbaharui lebih banyak penyelesaian digital melangkaui fintech dan ingin menjalin lebih banyak perkongsian strategik seperti ini di beberapa negara lain di seluruh dunia dengan menggunakan penyelesaian digital kami," katanya. - DagangNews.com