Siab Holding catat kerugian bersih sebanyak RM2.3 juta bagi 1QFY23 akibat peningkatan kos bahan binaan | DagangNews Skip to main content

Siab Holding catat kerugian bersih sebanyak RM2.3 juta bagi 1QFY23 akibat peningkatan kos bahan binaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Siab Holdings Berhad mencatatkan rugi bersih sebanyak RM2.3 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding untung bersih RM117,000 pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerugian bagi suku semasa dan tahun kewangan semasa setakat ini disebabkan keuntungan yang lebih rendah daripada projek yang sedang dijalankan disebabkan oleh peningkatan kos bahan binaan dan kos pembetulan kecacatan yang lebih tinggi yang ditanggung untuk projek yang telah siap.

 

Katanya, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM36.84 juta bagi 1QFY23.

 

"Hasil kumpulan diperoleh terutamanya daripada segmen pembinaan dan kejuruteraan awam dengan pasaran Malaysia sebagai pasaran tunggal mereka," katanya.

 

Laporan Tinjauan Ekonomi & Fiskal dan Anggaran Hasil 2023 menyatakan bahawa pelaksanaan projek baharu, seperti menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KDVT) Fasa 2 dan mempercepatkan projek yang sedang berjalan, seperti Laluan Rel Pantai Timur akan menerajui subsektor kejuruteraan.

 

Sektor pembinaan domestik dijangka meningkat sebanyak 6.1% pada tahun 2023 ini.

 

Kumpulan akan terus mengambil bahagian secara aktif dalam tender untuk hartanah, projek infrastruktur serta bangunan institusi.

 

"Pengurusan akan terus meningkatkan strategi kawalan kos semasa dan mengurus kecekapan operasi," katanya. - DagangNews.com