Sidang Kemuncak Digital SME MDEC tingkat transformasi Digital PKS Malaysia | DagangNews Skip to main content

Sidang Kemuncak Digital SME MDEC tingkat transformasi Digital PKS Malaysia

Sidang Kemuncak Digital SME MDEC

 

MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) hari ini merasmikan Sidang Kemuncak Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (SME Digital Summit) bagi memperkasa transformasi digital dalam perniagaan seluruh rakyat Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha dan Multimedia Malaysia, Shakib Ahmad Shakir berkata, PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi negara yang merangkumi 98.5% atau hampir satu juta daripada semua pertubuhan perniagaan.

"Mereka menyumbang sebanyak 20% kepada pendapatan negara untuk setakat ini pada 2020, meningkat daripada 18.5% berbanding tahun lalu. Mereka juga penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan kerana mereka menggunakan sebanyak 66% tenaga kerja iaitu sekitar 270 juta rakyat Malaysia.

"PKS adalah nadi ekonomi kita dan mereka tidak boleh dikecualikan daripada pengembangan ekonomi secara digital ini. Adalah mustahak untuk memperkasakan mereka ke arah digital untuk meningkatkan produktiviti mereka agar dapat menjimatkan kos pemasaran atau perkhidmatan secara dalam talian," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Shakib Ahmad Shakir
                                                              Shakib Ahmad Shakir

 

Sidang Kemuncak Digital SME MDEC itu mengfokuskan kepada kepantasan kuasa digital perniagaan sebagai langkah pemulihan ekonomi masyarakat Malaysia.

Acara yang berlangsung selama seminggu itu dimulakan dengan perbincangan berkaitan 'Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN' yang menampilkan ahli panel terkemuka seperti Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Malaysia dan Multimedia, Shakib Ahmad Shakir, Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff dan Pemimpin Perunding ASEAN Ernst & Young, Chow Sang Hoe.

Sidang kemuncak tersebut juga adalah sebahagian daripada Program MDEC's 100 Go Digital dan kempen bulan #SayaDigital.

Inisiatif tersebut dirancang bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk membawa norma baharu digital dalam masyarakat dan perniagaan.

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, pihaknya telah lama menekankan kepentingan transformasi ekonomi digital dan berhasrat untuk mempercepatkan penggunaan digital di seluruh cabang ekonomi Malaysia.

"Kesan ekonomi digital di peringkat global adalah sangat besar dan Malaysia akan ketinggalan sekiranya kita tidak bergerak kepada digital dengan segera.

"Inilah masanya PKS dan pengusaha mikro berfikir di luar kotak. Kami mendesak mereka untuk memanfaatkan sumber MDEC yang ada, bukan sahaja untuk bertahan dalam ekonomi ini, tetati untuk turut serta dalam pemulihan tersebut," jelasnya. - DagangNews.com