KUALA LUMPUR 23 Ogos - Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) melancarkan Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards (Top ECM) 2022 bagi mengiktiraf usahawan digital.
Program yang mendapat sokongan Affin Bank Berhad dengan kerjasama SUBPLACE sebagai platform e-dagang rasmi bertujuan memberi ganjaran kepada peniaga e-dagang tempatan yang paling berjaya bagi membolehkan mereka menyerlahkan jenama dalam kalangan pemain industri lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Sidec, Yong Kai Ping mengulangi hasrat Top ECM dalam mengiktiraf peniaga berdaya saing yang dapat memanfaatkan keupayaan platform e-dagang bagi memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.
"Peniaga tradisional dan yang baharu perlu menyamakan kedudukan mereka dengan mewujudkan kehadiran mereka di dalam talian sebagai vendor untuk berkembang maju.
"Sebagai perbandingan, 2021 menyaksikan peningkatan seramai 181 peniaga dengan hasil jualan berjumlah RM47 juta.
"Pertumbuhan mendadak ini menunjukkan industri e-dagang berkembang pesat, dan Sidec berada di sini untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang ini selepas mencatatkan jumlah jualan RM123 juta dalam tempoh enam tahun yang lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada tahun ini, terdapat tiga kategori anugerah iaitu Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards, Selangor E-Commerce Merchant Awards dan AFFIN BANK Special Awards (Rising Star dan AFFINGEM Women Trailblazer Awards).
The Rising Star Award merupakan anugerah khas yang akan diberikan kepada tiga pemenang berdasarkan potensi perniagaan syarikat.
Sejumlah 440 penyertaan diterima dan 228 telah disenarai pendek bagi bersaing mendapatkan hadiah keeseluruhan bernilai lebih RM60,000 dalam bentuk wang tunai serta hadiah lain dengan kesemua yang disenarai pendek akan dinilai berdasarkan tiga kriteria iaitu Peraduan Jualan dalam Talian (50%), Peraduan Strim Langsung (25%) dan Potensi Perniagaan (25%). - DagangNews.com