KUALA LUMPUR 21 Jun - Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) menyasarkan untuk menerima 250 penyertaan dan mencapai jumlah jualan RM20 juta untuk edisi terkini Anugerah Peniaga E-Dagang Utama (Anugerah ECM).
Menurut Sidec, pertandingan tiga bulan itu menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM60,000 dan hadiah-hadiah menarik yang lain.
Ia berkata semua peniaga yang disenarai pendek akan dinilai berdasarkan tiga kriteria yang telah ditetapkan oleh penganjur iaitu peraduan jualan dalam talian (50%), peraduan penstriman langsung (25%) dan potensi perniagaan (25%).
Sidec berkata anugerah itu bertujuan untuk memberi ganjaran kepada peniaga e-dagang tempatan yang paling berjaya, kreatif dan inovatif.
Para peserta dikehendaki mempunyai kedai e-dagang yang beroperasi sebelum Mac tahun 2022 yang menjual produk kepada pengguna akhir atau Perniagaan ke Pengguna (B2C), mencapai jualan sekurang-kurangnya RM25,000 atau minimum 100 pesanan dalam mana-mana bulan antara Jun 2021 hingga Jun 2022, dokumen sokongan dan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Affin Bank Bhd bekerjasama dengan Sidec sebagai penaja utama dan SUBPLACE sebagai ruang niaga e-dagang rasmi manakala Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menyediakan kemudahan eksport tambahan kepada lima pemenang Anugerah ECM Utama untuk pengembangan pasaran antarabangsa mereka.
“Ketika dilancarkan buat pertama kali pada 2016, hanya 60 peniaga e-dagang mengambil bahagian manakala pada 2021, jumlahnya meningkat kepada 181 peniaga dan menjana jualan sebanyak RM47 juta.
"Peningkatan itu menunjukkan bahawa industri e-dagang terus berkembang dan Sidec berperanan untuk menobatkan peniaga e-dagang terbaik tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping.
Beliau berkata secara kumulatif, pertandingan itu mencatatkan jumlah jualan RM123 juta sejak enam tahun lepas.
Beliau berkata demikian semasa mengumumkan acara itu semalam. Yang turut hadir ialah ikon muzik negara dan ahli perniagaan, Dato' Sri Siti Nurhaliza Tarudin; Andy Loke (Ketua Pembangunan Perniagaan, Affin Bank Berhad); Dato’ Hasan Azhari (CEO, Invest Selangor Berhad) dan Mak Wai Hoong (CEO, SUBPLACE).
Selain itu, Sidec turut menganjurkan Program Pemecut Fesyen Selangor buat pertama kalinya untuk membantu syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam membangunkan ekosistem yang mampan untuk indiviu berbakat dalam sektor fesyen.
Sidec mendapat sokongan besar daripada juri-juri yang berbeza latar belakang dan kepakaran, termasuk Dato' Sri Siti Nurhaliza.
Yong berkata 16 calon daripada 50 pemohon akan menerima latihan dari 1 Ogos hingga 23 September dan hanya enam akan dipilih untuk mengemukakan ‘pitching’
(mempersembahkan pelan perniagaan) kepada pelabur dan rakan kongsi industri pada ‘Demo Day’ yang dijadualkan berlangsung pada 8 Oktober.
“Kami berperanan menyediakan penyelesaian digital untuk membantu usahawan tempatan serta usahawan kecil dan sederhana membina perusahaan mereka.
"Pandemik telah memberi kesan besar dan kita perlu memberi mereka sedikit dorongan untuk mereka memanfaatkan pendigitalan,” katanya.
Acara tersebut akan berlangsung pada 8 Oktober depan bersempena dengan Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) ketujuh.
Pendaftaran untuk program itu kini dibuka sehingga 15 Julai depan bagi syarikat pemula niaga fesyen Malaysia atau PKS dengan perolehan jualan minimum RM100,000 pada 2020 atau 2021 dan telah berniaga kurang daripada lima tahun. - DagangNews.com