Siemens, MACO sumbang perabot terpakai, bina makmal baharu untuk sekolah | DagangNews Skip to main content

Siemens, MACO sumbang perabot terpakai, bina makmal baharu untuk sekolah

Pelajar SJK (C) Cheroh ketika sesi pembelajaran di makmal komputer baharu sekolah tersebut.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun - Siemens dengan kerjasama Medical Awareness Camp Outreach (MACO) mendermakan perabot terpakai yang dirancang untuk dilupuskan kepada sekolah-sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan. 

 

Siemens dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sumbangan tersebut dilakukan menerusi Computer Empowerment Project (CEP) MACO, yang bermatlamat untuk melengkapkan sekolah dan NGO yang memerlukan bekalan peranti teknologi. 


 
Jelasnya, Siemens juga menyumbang sebanyak RM50,000 kepada inisiatif CEP, bagi membantu MACO mendirikan makmal komputer di pelbagai sekolah yang mempunyai ramai murid daripada keluarga berpendapatan rendah. 

 

"Ia sebahagian daripada usaha Siemens bagi membantu murid-murid B40 mengakses pendidikan tinggi. 

 

"Pada pandemik dahulu, Siemens menyumbangkan komputer riba terpakai bagi membantu murid-murid B40 mengikuti kelas dalam talian. Sumbangan wang tunai dan perabot terpakai ini satu usaha berterusan bagi membantu murid yang kurang bernasib baik," katanya.

 

Siemens berkata, bencana banjir yang berlaku pada awal tahun ini menyerlahkan kekangan peruntukan yang dihadapi banyak sekolah dalam mendapatkan kelengkapan pembelajaran yang diperlukan. 

 

"Lebih 300 buah sekolah terkesan dengan banjir tersebut, dan mereka tidak mampu untuk menggantikan perabot penting yang rosak. Situasi ini amat menyukarkan sekolah-sekolah di kawasan pedalaman seperti di Pulau Carey. Justeru, sumbangan perabot pejabat Siemens yang tidak digunakan, membantu menyelesaikan masalah ini.

 

 

siemens

 

 

siemens

 

 

"Perabot yang didermakan terdiri daripada kerusi, meja, dan almari, yang bernilai kira-kira RM25,000. Sebahagian besar daripadanya digunakan bagi mendirikan makmal komputer, sejajar dengan inisiatif CEP untuk mendaya upayakan murid-murid agar lebih fasih teknologi dan bersedia untuk masa hadapan. 

 

"Sebahagian perabot juga akan disalurkan kepada NGO yang disokong oleh MACO, seperti The Inclusive Outdoor Classroom (IOC), Jireh Charity Village, dan Children Training Centre," katanya.


 
Tambahnya, Siemens bersama-sama MACO, merayu syarikat-syarikat korporat lain agar menyumbangkan perabot mereka yang tidak lagi digunakan kerana ia berpotensi besar bagi membantu sekolah dan NGO yang kekurangan peralatan-peralatan penting itu. 

 

 

siemens

 

 

siemens

 

 

"Ia bukan sahaja akan membantu murid belajar dalam persekitaran yang lebih baik, ia juga akan mengurangkan pembaziran dan membantu syarikat-syarikat korporat untuk mengitar semula perabot mereka dan mengurangkan pembuangan sisa di tapak-tapak pelupusan. 


 
"Pada masa ini, terdapat pelbagai perabot yang tidak digunakan di pejabat memandangkan terdapat banyak syarikat yang masih melaksanakan model bekerja dari rumah secara hibrid. Justeru, perabot ini boleh dimanfaatkan sekolah, terutamanya di kawasan terpencil yang berdepan masalah kekurangan peruntukan," katanya.


 
Sehingga kini, MACO telah memanfaatkan sumbangan dana Siemens bagi mendirikan makmal-makmal komputer di sekolah-sekolah berikut:


 
• SJK (C) Kwang Hwa, Sungai Kecil, Nibong Tebal, Kedah


• SJK (C) Cheroh, Raub, Pahang


• SJK (C) Lanchang, Pahang


• SJK (C) Sungai Buloh, Sungai Siput Utara, Perak


• SJK (T) Ladang Sg Rambai, Bestari Jaya, Selangor


• SJK (T) Pulau Carey Barat


 
Projek ini akan berterusan sepanjang 2022 sebagai sebahagian daripada usaha untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Siemens. - DagangNews.com