Sika Malaysia pupuk semangat komuniti dengan memperbaiki persekitaran sekolah di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

Sika Malaysia pupuk semangat komuniti dengan memperbaiki persekitaran sekolah di seluruh negara

Wakil SK Telok Gong, Sika Malaysia, dan Yayasan PINTAR bekerjasama menjayakan acara gotong-royong bersempena Hari Sika.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Sika Malaysia, sebuah syarikat bahan kimia khusus terkemuka di peringkat global bekerjasama dengan Yayasan PINTAR, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan bagi tujuan meningkatkan pendidikan pelajar kurang berkemampuan di kawasan luar bandar serta komuniti miskin bandar di seluruh Malaysia menjalankan aktiviti gotong-royong bagi memberi manfaat kepada sekolah di seluruh negara.
 

Gerakan gotong-royong itu melibatkan lebih 400 kakitangan Sika Malaysia dan memanfaatkan lima sekolah, terdiri daripada lebih 3,000 pelajar dan 250 guru dalam wilayah operasi kumpulan itu. 

 

Inisiatif itu menunjukkan usaha syarikat untuk meningkatkan penglibatan komuniti, menggalakkan kesedaran alam sekitar selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif untuk pelajar.

 

Pengurus Besar Sika Malaysia, Francisco Retondo berterima kasih kepada Yayasan PINTAR kerana bekerjasama dengan pihaknya bagi meningkatkan komuniti tempat mereka beroperasi selain mengesahkan komitmen mereka terhadap penjagaan masyarakat an alam sekitar.

 

"Saya amat berbesar hati melihat semangat dan dedikasi pekerja yang turun padang dan berjaya melaksanakan gotong-royong, memberi impak yang ketara kepada pelajar yang kurang bernasib baik. 

 

sika
Pekerja Sika Malaysia menggunakan produk keluaran mereka, SikaGrout-215 bagi menampal lubang lantai di salah satu bilik darjah.

 

"Kami berharap dapat memupuk manfaat jangka panjang dengan Yayasan PINTAR untuk pelajar yang kurang bernasib baik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Antara sekolah yang menerima manfaat daripada program itu termasuk Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Manaf di Nilai; Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Bukit Darah di Sungai Buloh, Selangor; Sekolah Kebangsaan Telok Gong di Selangor; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Pasir Puteh di Ipoh; dan Sekolah Kebangsaan Taman Indahpura 2 di Kulai, Johor

 

Sika Malaysia juga menyumbangkan kira-kira 3,300 set alat tulis kepada pelajar sebagai cara untuk menyediakan keperluan peralatan asas persekolahan mereka.

 

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan PINTAR, Norzalina Masom menzahirkan kesyukuran kerana diberi peluang bekerjasama dengan Sika Malaysia.   

 

sika
Sebahagian kakitangan Sika Malaysia membersihkan sebahagian kawasan sekolah di SJK (T) Bukit Darah bagi menyediakan persekitaran yang selamat kepada murid dan guru sekolah.

 

"Perkongsian baharu kami adalah bukti komitmen bersama bagi melakkan perubahan ketara dalam kehidupan masyarakat kurang bernasib baik. 

 

"Bersama-sama, kami bukan sahaja mengumpulkan sumber tetapi juga memperbesarkan impak kami, memastikan persekitaran yang memupuk untuk pertumbuhan pendidikan pelajar yang kurang bernasib baik di seluruh Malaysia," katanya.

 

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sika Malaysia adalah sebahagian daripada penglibatan komuniti global Sika yang lebih luas dengan tema tahun ini, ‘One Team. Many Voices. Going Beyond Together’, yang disambut pada Hari Sika, diadakan setiap tahun pada 11 Jun. 

 

Inisiatif CSR ini telah mengumpulkan lebih 33,000 pekerja di seluruh dunia untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti, mencapai 10,000 hari penglibatan komuniti di seluruh dunia yang membantu komuniti tempatan dan mencipta faedah yang berkekalan untuk generasi akan datang.- DagangNews.com