SilTerra meterai perjanjian pembekalan dan pembelian wafer dengan Ilitek dari Taiwan | DagangNews Skip to main content

SilTerra meterai perjanjian pembekalan dan pembelian wafer dengan Ilitek dari Taiwan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29Nov - SilTerra Malaysia Sdn Bhd memeterai perjanjian pembekalan dan pembelian wafer berbilang tahun dengan ILI Technology Corp (Ilitek), sebuah rumah reka bentuk fabless pengawal sentuh dan pemandu litar bersepadu (IC) terkemuka yang berpangkalan di Taiwan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Berhad (DNeX), dan juga Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, di bawah perjanjian itu, SilTerra akan bekerjasama dengan Ilitek dalam pembangunan teknologi dan fabrikasi wafer yang menyasarkan pengawal sentuh dan pemacu paparan IC untuk pasaran industri dan peralatan rumah.

 

"Kami berbesar hati untuk SilTerra memeterai perjanjian ini dengan satu daripada syarikat reka bentuk cip semikonduktor terkemuka di Taiwan. 

 

"Ini menandakan peristiwa penting dalam aspirasi SilTerra untuk menjadi peneraju bertaraf dunia dalam pasaran semikonduktor dunia dari segi kecemerlangan operasi dan kemajuan teknologi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, Ilitek telah menjadi rakan kongsi teknologi dan perniagaan jangka panjang SilTerra sejak 2006 dan perjanjian tersebut menandakan satu lagi peristiwa penting untuk hubungan SilTerra dan Ilitek. 

 

Ujarnya, kedua-dua syarikat akan terus bekerja rapat dalam pembangunan produk dan pengeluaran besar-besaran berdasarkan platform teknologi voltan tinggi 0.16um dan 0.13um SilTerra. 

 

"Teknologi voltan tinggi antara teknologi pemboleh yang paling berjaya dan penting daripada SilTerra untuk pasaran IC pemacu paparan global untuk panel kecil seperti peranti boleh pakai (wearable) dan peranti mudah alih, panel sederhana untuk monitor dan panel besar untuk aplikasi TV.

 

"Sebagai sebahagian daripada transformasi SilTerra, para pemegang saham baharu memimpin syarikat ke arah akses pasaran sedia ada dengan memanfaatkan rangkaian kami termasuk pelanggan strategik dan kontrak pembekal jangka panjang. 

 

"Di samping itu, kami sentiasa komited untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran dan keupayaan teknologi SilTerra dalam industri semikonduktor global," tambahnya.

 

Beliau berkata perjanjian itu akan turut membantu SilTerra mendapatkan pemuatan wafer yang stabil, memastikan pertumbuhan yang mampan untuk syarikat pada masa hadapan.  -DagangNews.com