SilTerra umum pelaburan bernilai RM645 juta | DagangNews Skip to main content

SilTerra umum pelaburan bernilai RM645 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 24 Jan - SilTerra Malaysia Sdn Bhd (SilTerra), mengumumkan pelaburan bernilai RM645 juta bagi pelan pengembangan yang akan meningkatkan kapasiti tahunannya sebanyak 20% dan dijangka siap untuk pengeluaran pada awal 2023.

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, dan juga Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pelaburan itu, yang diperoleh daripada suntikan modal oleh pemegang saham dan dana yang dijana secara dalaman, akan meningkatkan kapasiti tahunan SilTerra daripada 8.3 juta pada akhir Julai 2021 kepada 10 juta lapisan topeng. 

 

Ujarnya, pelaburan tersebut adalah komitmen berterusan pemegang saham untuk melengkapkan syarikat dengan keupayaan pembuatan terbaik dalam kelasnya dan mengembangkan kapasiti pengeluaran untuk mencapai skala ekonomi yang lebih baik, dengan kos pembuatan yang lebih rendah.

 

"Inisiatif yang dilaksanakan setakat ini untuk mengubah SilTerra menjadi sebuah syarikat teknologi yang menguntungkan dan berdaya tahan telah membuahkan hasil.

 

"Dalam tempoh enam bulan lalu, langkah penambahbaikan proses kami telah menghasilkan peningkatan produktiviti dan tahap kecekapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, SilTerra kini merupakan entiti yang menguntungkan dan bersedia untuk berkembang lebih jauh memandangkan permintaan kukuh yang berterusan untuk semikonduktor dan kekangan kapasiti semasa dalam industri disebabkan oleh permintaan tinggi kenderaan elektrik, Internet-of-things ( IOT), pusat data dan perdagangan elektronik. 

 

"Permintaan ini amat relevan terutamanya untuk faundri khusus 200mm di mana SilTerra berada. Oleh itu, adalah tepat bagi kami untuk meneruskan program pelaburan jangka panjang untuk SilTerra bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya. 

 

Syed Zainal Abidin berkata, sokongan daripada pelanggan SilTerra juga sangat kukuh. 

 

Beliau berkata, perjanjian jangka panjang (LTA) yang ditandatangani baru-baru ini dengan ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd dan ILI Technology Corp yang berpangkalan di Taiwan akan menyediakan perniagaan yang stabil untuk SilTerra sekiranya kemerosotan pasaran berlaku.

 

"Selain perniagaan yang akan dibawa oleh LTA itu, SilTerra komited untuk bekerjasama dengan pelanggannya untuk meningkatkan kerjasama teknologi ke arah yang lebih baik bagi mengukuhkan dan mengoptimumkan pelan hala tuju produk dan teknologi dalam kalangan rakan kongsi," katanya.   -DagangNews.com