Sime Darby Auto Selection buka pusat servis pelbagai jenama di Glenmarie | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Auto Selection buka pusat servis pelbagai jenama di Glenmarie

Pusat servis Sime Darby Auto Selection di Glenmarie

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Sime Darby Auto Selection membuka pusat servis baharu dan yang pertama kepada kenderaan pelbagai jenama di Glenmarie, Selangor.

 

Sime Darby Auto Selection berkata, pembukaan itu adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk menawarkan perkhidmatan alternatif baharu selepas jualan pada harga kompetitif bagi kenderaan pasca jaminan.

 

Pengarah Urusan Runcit & Pengedarannya, Jeffrey Gan berkata, pemilik yang mempunyai kenderaan sepanjang tempoh jaminan berpeluang menikmati kualiti perkhidmatan yang sama seperti yang disediakan oleh pusat servis jenama sah.

 

"Pembukaan fasiliti baharu ini sangat tepat pada masanya untuk memenuhi permintaan pemilik kenderaan yang sentiasa berubah-ubah dan selalu mencari alternatif setelah jaminan kereta tamat.

 

"Dengan pusat servis sehenti ini, pemilik kereta khususnya mereka yang mempunyai pelbagai jenama kereta berpeluang menikmati kemudahan pusat servis sehenti yang menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga yang tiada tandingannya," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sime Darby Auto Selection

 

Dengan peralatan yang canggih, pusat servis Sime Darby Auto Selection dibina khas untuk menyokong kenderaan jenama lain dan komited untuk memenuhi setiap keperluan pengguna.

 

Selain perkhidmatan asas seperti penggantian minyak enjin, penyelarasan dan pengimbangan tayar, penyaman udara dan pembasmian kuman kereta, pusat servis tersebut juga menawarkan pembaikan, pembersihan dan pemeriksaan kenderaan.

 

Pusat servis baharu itu dibina dengan ukuran 4,117 kaki persegi yang merangkumi enam ruang perkhidmatan, ruang pelanggan yang selesa bersama WiFi percuma, kemudahan membancuh kopi dan teh serta makanan ringan percuma untuk keselesaan pelanggan semasa menunggu.

 

Pusat servis tersebut turut menyediakan perkhidmatan ambil dan hantar kereta bagi pelanggan yang tidak dapat menghantar sendiri kenderaan.

 

Terletak di Lot 33, Taman Perindustrian Temasya, Glenmarie, Shah Alam, pusat servis berkenaan beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 12.30 tengah hari pada Sabtu dan tutup pada Ahad. - DagangNews.com