Sime Darby berjaya pertahankan tanah di Merlimau dari diambil syarikat Taiwan | DagangNews Skip to main content

Sime Darby berjaya pertahankan tanah di Merlimau dari diambil syarikat Taiwan

 

KUALA LUMPUR 21 Julai – Selepas pertarungan di mahkamah selama setahun, Sime Darby Plantation Bhd (SDP) akhirnya memperoleh hak pemilikan ke atas tanah seluas 75 hektar di Merlimau, Melaka daripada diambil oleh syarikat dikuasai Taiwan, GI A Resources Sdn Bhd.

Gi A Resource sebelum ini mendakwa ia bertindak mewakili bekas Yang di-Pertuan Agong yang kini Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, untuk harga nilai dibawah pasaran sebanyak RM35.282 juta.

Dalam kenyataan di sini semalam, SDP berkata, syarikat itu telah mencapai `penyelesaian mesra’ dengan pihak-pihak terbabit di dalam permohonan kajian semula perundangan oleh SDP terhadap pengarah Jabatan Tanah dan Galian Melaka, pentadbir tanah daerah Jasin, kerajaan Melaka dan GI A Resources.

Susulan penyelesaian tersebut, SDP berkata, pihak-pihak berkenaan hari ini mencatatkan perintah kebenaran di Mahkamah Tinggi, yang memerlukan penarikan keluar perintah pengambil alihan wajib oleh pengarah, pentadbir tanah dan kerajaan negeri.

Perintah kebenaran itu juga memerlukan GI A Resources memfailkan notis tidak meneruskan hasrat bagi memberhentikan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam tempoh lima hari bekerja daripada tarikh notis.

“Perjanjian penyelesaian dianggap lengkap dengan penarikan balik pengambil alihan wajib tanah dan pelaksanaan penuh setiap terma penyelesaian yang terkandung di dalam perintah kebenaran,’’ kata SDP.

"Dengan perintah kebenaran, SDP sukacita mengumumkan bahawa permohonannya untuk kajian semula perundangan telah tamat dan tanah tersebut kekal hak milik SDP,’’ kata syarikat itu seperti dilaporkan oleh The Edge Markets.

Ketua pengurusan tanah SDP, Mohd Razlan Mohd Rahim, di dalam afidavit bagi menyokong tindakan undang-undang itu, mendakwa GI A Resources telah gagal menyatakan dengan jelas tujuan pengambil alihan, yang menurut beliau, menjadi suatu keanehan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Menurut beliau, GI A Resources sekadar menyatakan tanah itu akan digunakan bagi cadangan projek pembangunan bercampur `Bandar Pendidikan Bestari’.

Istana Negara

Mohd Razlan juga mendakwa GI A Resources telah mengemukakan surat bertarikh 12 Disember 2018 bagi menyokong pengambilalihan tanah itu dengan mendakwa urus niaga itu telah dibincangkan di dalam mesyuarat Yayasan Sultan Muhammad Ke-5, dan mendakwa Sultan ketika itu bertitah mahukan tanah berkenaan.

Susulan itu GI A Resources, ujarnya, telah mengemukakan surat bertarikh 4 April 2019 kepada kerajaan Malaysia, dengan kepala surat Istana Negara bagi menyokong pengambilalihan tanah itu.

Seandainya dokumen itu sahih, ia adalah melanggar Artikel 74 Perlembagaan Persekutuan kerana menggunakan Istana Negara, sebuah institusi persekutuan untuk campur tangan di dalam urusan negara, khususnya di dalam pengambilalihan tanah, kata Mohd Razlan.

SDP, yang saham majoritinya dimiliki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), turut berhujah bahawa transaksi itu bertentangan dengan kepentingan awam.

Lagi pun, transaksi itu membabitkan pengambilalihan wajib aset syarikat berkaitan kerajaan untuk kepentingan syarikat yang dikuasai orang asing, kata Mohd Razlan. – DagangNews.com