Sime Darby Plantation catat hasil FY21 lebih baik, didorong lonjakan harga MSM | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation catat hasil FY21 lebih baik, didorong lonjakan harga MSM

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Feb - Untung bersih Sime Darby Plantation Bhd. bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 melonjak lebih 214% kepada RM468 juta berbanding RM149 juta bagi tempoh sama 2020.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM5.55 bilion berbanding RM3.64 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Walaupun pengeluaran buah tandan segar adalah lebih rendah pada suku semasa, tetapi harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi membantu melonjakkan prestasi kewangan kumpulan, yang menyaksikan semua segmen merekodkan keuntungan tahun ke tahun yang lebih tinggi.

 

Segmen huluan pada suku berkenaan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) sebanyak RM958 juta, 173% lebih tinggi daripada RM351 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Ini disokong harga MSM direalisasikan dan isirung sawit yang lebih tinggi, masing-masing meningkat daripada purata RM2,664 kepada RM4,179 satu tan metrik dan RM1,673 kepada RM3,363 satu tan metrik. 

 

Kadar perahan minyak juga meningkat 21.79% daripada 21.35% pada suku keempat tahun kewangan 2020.

 

Sementara itu, segmen hiliran pula menyaksikan peningkatkan PBIT yang ketara daripada RM7 juta pada suku ketiga kepada RM287 juta pada suku keempat 2021 disumbangkan menerusi peningkatan jualan daripada operasi di Eropah dan margin lebih tinggi bagi operasi di Asia Pasifik.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21), Sime Darby Plantation merekodkan PBIT berjumlah RM3.68 bilion, hampir 2 kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sama FY20 sebanyak RM1.85 bilion, di sebalik kerugian rosot nilai sebanyak RM279 juta daripada ladang getah kumpulan di Malaysia yang belum matang, yang terjejas disebabkan penyakit pestoliopsis dan masalah kekurangan buruh.

 

Untung bersih bagi tempoh itu meningkat kepada RM2.26 bilion berbanding RM1.19 bilion manakala pendapatan melonjak kepada RM18.7 bilion berbanding RM13.08 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Kumpulan mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 12.38 sen sesaham beserta dividen interim sebanyak 7.90 sen, menjadikan jumlah dividen peringkat tunggal sebanyak 20.28 sen sesaham bagi FY21, lebih tinggi berbanding FY2020 sebanyak 11.57 sen sesaham.

 

 

Mohamad Helmy Othman Basha
Mohamad Helmy Othman Basha

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, meskipun kumpulan mengakhiri FY21 dengan cemerlang tetapi laluan masih kekal mencabar. 

 

Ini berikutan pada 28 Januari lalu, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS)) mengeluarkan penemuan bahawa produk minyak sawit tertentu syarikat tersebut dihasilkan menggunakan buruh banduan, paksa atau hamba.

 

"Walaupun penemuan itu mengecewakan, namun, kami terus berusaha untuk menangani semua cabaran, mengekalkan kebajikan dan kesejahteraan tenaga kerja sebagai keutamaan kami.

 

Sementara kumpulan memulakan pembayaran balik yuran pengambilan dan kos berkaitan kepada pekerja asing semasa dan terdahulu yang mungkin telah dicaj oleh ejen pihak ketiga di negara sumber, kami juga menantikan penyempurnaan penilaian bebas bagi operasi kami di Malaysia," jelasnya.

 

Bagaimanapun, di sebalik cabaran itu, beliau percaya 2022 akan menjadi tahun perubahan kepada kumpulan.

 

Kumpulan menjangkakan harga minyak sawit kekal tinggi, sekurang-kurangnya sepanjang separuh pertama 2022 memandangkan bekalan hanya akan meningkat pada separuh kedua sejajar dengan musim tanaman yang tinggi. 

 

"Kami juga kekal optimis yang berhati-hati terhadap pengeluaran buah tandan segar terutama menerusi operasi di Malaysia, meningkat pada separuh kedua apabila kerajaan menarik balik pembekuan pengambilan pekerja asing yang telah dilaksanakan sejak Jun 2020.

 

"Ini dapat menyediakan sokongan berterusan kepada pengeluaran buah tandan segar selaras dengan musim pengeluaran puncak," katanya. - DagangNews.com