Sime Darby Plantation catat untung bersih RM380 juta pada 2QFY23, isytihar dividen 3.25 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation catat untung bersih RM380 juta pada 2QFY23, isytihar dividen 3.25 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Bhd bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) merosot dua kali ganda kepada RM380 juta daripada RM812 juta dalam tempoh sama tahun lalu, akibat purata harga minyak sawit mentah dan isirung sawit direalisasikan telah merosot.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan dalam suku berakhir 30 Jun 2023 berjumlah RM4.3 bilion, jatuh 23% daripada RM5.59 bilion tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula menyusut kepada 5.50 sen pada 2QFY23 berbanding 11.70 sen tahun lalu.

 

Lembaga pengarah Sime Darby Plantation mengisytiharkan dividen interim sebanyak 3.25 sen yang akan dibayar pada 17 November 2023.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2023 (6MFY23), kumpulan itu mencatat keuntungan bersih RM449 juta, merosot lebih tiga kali ganda daripada RM1.53 bilion pada tempoh sama tahun lalu, sementara pendapatan merosot 16% kepada RM8.37 bilion berbanding RM9.97 bilion sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, kumpulan itu berkata selain kemerosotan harga komoditi, ia turut berdepan dengan peningkatan perbelanjaan operasi, terutamanya daripada harga baja dan kos buruh yang lebih tinggi, terutamanya di Malaysia, di mana kumpulan itu sedang memulihkan operasinya.

 

Pada suku kedua, kumpulan itu berkata pengeluaran buah tandan segar (BTS) merosot 2% tahun ke tahun disebabkan pengeluaran BTS di Indonesia kumpulan berkurang 6%.

 

Dalam segmen hiliran, Sime Darby Oils mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) yang lebih rendah sebanyak RM124 juta pada 2QFY23 daripada RM275 juta setahun sebelumnya.

 

Walaupun kumpulan itu menjangkakan FY23 kekal mencabar, Pengerusi, Tan Sri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata beliau percaya ia berada di kedudukan baik untuk mengharungi sebarang badai yang mungkin akan datang.

 

“Program yang sedang dijalankan di seluruh kumpulan akan memastikan bahawa nilai pemegang saham terpelihara dalam jangka pendek dan dipertingkatkan dalam jangka sederhana dan panjang,” ujar beliau.

 

 

Tan Sri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani
Tan Sri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha menambah bahawa pemulihan agresif yang berterusan bagi operasi huluannya di Malaysia mula menunjukkan hasil dengan peningkatan dalam pengeluaran BTS pada suku kedua 2023.

 

“Ini, ditambah pula dengan ketibaan dan peningkatan kemahiran penuai baharu akan meletakkan operasi penuaian dan keadaan ladang kami kembali menghasilkan produktiviti lebih baik hingga akhir tahun.

 

 

Datuk Mohamad Helmy Othman Basha
Datuk Mohamad Helmy Othman Basha

 

 

“Memandangkan kami menghampiri tempoh pengeluaran puncak dalam beberapa bulan akan datang, kumpulan berharap untuk terus meningkatkan prestasi pada separuh kedua 2023,” tambahnya.

 - DagangNews.com