Sime Darby Plantation serah laporan terperinci berhubung isu buruh paksa kepada USCBP hari ini | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Plantation serah laporan terperinci berhubung isu buruh paksa kepada USCBP hari ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 April - Sime Darby Plantation Berhad (SDP) hari ini menyerahkan laporan terperinci kepada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (USCBP) bagi memansuhkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) yang dikenakan ke atas syarikat sejak Disember 2020 menjelang akhir bulan ini.

 

SDP dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, laporan itu merangkumi penilaian terperinci daripada badan bebas mengenai operasi SDP di Malaysia mengikut garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

 

Katanya, laporan itu disertakan bersama penerangan yang mendalam tentang struktur tadbir urus dan sistem pengurusan yang lebih baik; salinan dasar, garis panduan dan prosedur operasi standard; butiran kemudahan di Unit Operasi SDP; bukti sokongan yang sepadan; dan laporan bebas daripada perunding pihak ketiga yang dilantik oleh SDP untuk menilai pelbagai aspek operasinya.

 

"Matlamat utama penyerahan laporan itu adalah untuk menunjukkan pematuhan penuh SDP terhadap peraturan import Amerika Syarikat dan piawaian buruh antarabangsa.

 

"Pada masa sama, SDP mempunyai kawalan dalaman dan sistem untuk melindungi hak pekerjanya dan memastikan kesejahteraan mereka sambil menangani dan menghapuskan kewujudan sebarang petunjuk yang mungkin berlaku untuk buruh paksa.

 

"SDP akan sentiasa memberikan kerjasama dan sentiasa berhubung dengan USCBP bagi memberi penjelasan mengenai laporan itu," katanya.

 

BACA JUGA: Malaysia berjuang habis-habisan menentang tekanan pihak asing terhadap minyak sawit - Zuraida

 

Sebelum ini, WRO dikeluarkan kepada SDP pada 16 Disember 2020 yang memberikan masa sehingga tiga bulan untuk membuktikan bahawa tiada tanda-tanda buruh paksa dan diberi pilihan untuk mengeksport semula barangan yang dibawa masuk ke AS.

 

WRO itu adalah untuk minyak sawit termasuk semua minyak sawit mentah dan minyak kelapa sawit serta produk-produk berkaitan yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya menggunakan minyak sawit berkaitan SDP.

 

Walaupun SDP memberikan kerjasama sepenuhnya kepada USCBP, kumpulan itu dikenakan notis yang membolehkan AS merampas barangan pengimport apabila masuk ke negara itu pada 27 Januari 2022. - DagangNews.com