Sinar pemulihan sektor penerbangan masih jauh | DagangNews Skip to main content

Sinar pemulihan sektor penerbangan masih jauh

Sektor penerbangan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

Perit, itulah hakikat yang terpaksa ditanggung industri penerbangan selepas wabak COVID-19 melanda dunia.

 

Episod hitam itu memberi impak besar sehingga menjejaskan jumlah penumpang syarikat penerbangan
ke tahap mendukacitakan.

 

Bukan itu sahaja, 'kesakitan' sektor berkenaan turut memaksa syarikat penerbangan memberhentikan para pekerja di bawah pelan penstrukturan semula akibat konflik kewangan.

 

Lebih menyedihkan, syarikat AirAsia Group Berhad (AAGB) terpaksa menutup operasi penerbangannya di Jepun iaitu AirAsia Japan Co Ltd (AAJ) selain menanggung bebanan hutang. 

 

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dalam laporan Waypoint edisi ketujuh menganggarkan bahawa trafik penumpang bagi tahun 2020 menurun antara 48.7% dan 50.3% tahun ke tahun akibat pandemik COVID-19.

 

.

 

Anggaran berkenaan secara tidak langsung menunjukkan unjuran trafik penumpang adalah antara 54.3 juta dan 56.0 juta pada 2020.

 

Timbul persoalan, sampai bila industri ini akan terus terhimpit? Adakah dengan kehadiran dan pelancaran vaksin yang semakin meluas memberi khabar gembira kepada industri ini? Atau industri ini akan terus menderita tanpa jawapan?

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim dalam satu kenyataan semalam memberitahu, pihaknya mengambil maklum bahawa pemulihan sektor penerbangan negara ke status pra-pandemik akan memakan masa. 

 

Menurutnya, meskipun terdapat prospek untuk melanjutkan perjalanan udara di masa yang akan datang, Mavcom berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa dan pemain industri untuk memastikan hak pengguna penerbangan terus dilindungi.

 

Dalam pada itu, Penganalisis MIDF Research, Ummar Fitri memberitahu, sektor penerbangan hari ini boleh dilihat melalui dua sisi pemikiran dan pendangan yang berbeza.

 

Beliau berkata, dalam sisi pandangan yang kurang menyenangkan, sektor ini dilihat akan terus berdepan dengan beberapa cabaran utama iaitu kawalan sempadan, larangan perjalanan serta langkah-langkah kuarantin.

 

Selain itu, keyakinan pengguna dan kerajaan serta tahap kewangan syarikat penerbangan turut menjadi penyumbang kepada krisis sektor berkenaan.

 

Namun, dalam sisi pandangan yang positif, beliau memberitahu, pihaknya yakin bahawa impak dan episod gelap yang menghantui sektor berkenaan beransur reda.

 

.

 

Katanya, perkara itu pastinya memberi sentimen kepada para pelabur untuk mengukur dengan lebih jelas terhadap prospek sektor berkenaan.

 

Mengulas berkaitan pelaksanaan PKP 2.0, beliau yakin bahawa pelaksanaan tersebut hanya akan memberi 'penderitaan' jangka pendek industri penerbangan, namun berpotensi untuk dilaksanakan dalam jangka masa panjang bagi menurunkan jumlah jangkitan wabak.

 

Tambahnya, larangan perjalanan rentas negeri dalam tempoh berkenaan secara jelas menghalang pemulihan penumpang di peringkat domestik.

 

"Kami berpendapat bahawa larangan perjalanan rentas negeri akan terus dilanjutkan hingga suku pertama tahun semasa 2021 sekali gus menjejaskan jangkaan pemulihan sektor penerbangan tahun ini," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Dalam nota kajian yang sama, beliau memberitahu, pembukaan semula sempadan dan kelonggaran sekatan perjalanan adalah kunci utama kepada pemulihan jumlah penumpang sektor penerbangan.

 

Sebelum tempoh pandemik katanya, nisbah penumpang Malaysia dibahagi pada paras yang hampir sama antara penumpang domestik dan antarabangsa melalui data yang dicatatkan oleh Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB).

 

Bagaimanapun, nisbah tersebut mula menunjukkan perbezaan ketara pada 2020 iaitu 63:37 (Malaysia) dan 69:31 (Turkey).

 

.

 

"Berapa lama lagi kawalan sempadan dan sekatan perjalanan ini akan dilaksanakan? 

 

"Sekiranya kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang akan mempertimbangkan aktiviti rentas negeri dan sempadan selepas negara memiliki komuniti kelompok dengan 70% hingga 80% penduduk divaksinasi, ia pastinya akan memberi kesan kepada prospek pemulihan sektor ini.

 

"Disebabkan kekecawaan kami kepada pemulihan untuk 2021, kami mengunjurkan pemulihan sebenar sektor penerbangan ini pada 2022," tambah beliau lagi.

 

Seiring dengan jangkaan baharu itu, beliau percaya bahawa permintaan perjalanan udara yang tertangguh sebelum ini mampu menjadi pendorong kepada pemulihan jumlah lalu lintas udara.

 

.

 

Mavcom juga katanya memberi pendangan positif terhadap pemulihan lalu lintas penumpang.

 

Dalam laporan yang diterbitkan Mavcom pada akhir 2020, suruhanjaya tersebut menganggarkan bahawa trafik penumpang akan meningkat antara +94.2% dan +100.3% tahun ke tahun.

 

Peningkatan itu sekali gus menjadikan bilangan penumpang sebanyak 51.7 juta hingga 53.3 juta.

 

Disebalik jangkaan pemulihan yang lebih lama itu, faktor kewangan sektor berkenaan juga menjadi persoalan penting.

 

Kekuatan dalam aspek kewangan amat diperlukan bagi mengatasi tempoh yang sukar ini sebelum menemui sinar pemulihan.

 

Ummar berkata, kedua-dua pemain industri penerbangan di bawah seliaan MIDF iaitu MAHB dan AAGB telah mengatur langkah yang perlu dalam usaha mengurangkan kos di samping mengumpulkan tunai untuk kekal bertahan.

 

Katanya, MAHB berjaya mengurangkan kos sebanyak -36.3% dengan penurunan kos operasi sebanyak -26.1%.

 

Berdasarkan pendapatan akhir tahun kewangan 2020, baki tunai dan setara MAHB kekal sihat dengan jumlah sekitar RM1.7 bilion.

 

.

 

Ujar beliau, dengan jumlah simpanan tunai seperti itu, MAHB mampu bertahan sekurang-kurangnya hingga akhir tahun kewangan 2021 dan lebih walaupun berdepan dengan situasi mencabar.

 

"Bagi AAGB pula, syarikat tersebut berjaya mengurangkan kos tetap sebanyak -50% pada suku ketiga tahun kewangan 2020 dengan kaedah penstrukturun jumlah pekerja dan pemotongan gaji secara menyeluruh.

 

"Kumpulan itu telah menghentikan operasi di Jepun pada Oktober lalu bagi mengurangkan pengeluaran tunai selain menyelesaikan jualan sebahagian saham AirAsia India untuk mengumpul wang tambahan.

 

"Berdasarkan hasil sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020, AAGB memiliki tunai dan setara sekitar RM620 juta," jelasnya. - DagangNews.com