Siri jelajah Husqvarna bersama Richiamo Coffee | DagangNews Skip to main content

Siri jelajah Husqvarna bersama Richiamo Coffee

Muhammad Zamry dan Pengarah Welly World Cycles, Ngo Yoke Kwang di majlis pelancaran kerjasama antara Richiamo Coffee dan Husqvarna Motorcycles di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Nov - Pemilik rangkaian kedai kopi premium, Richiamo Coffee Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama dengan jenama motosikal dari Austria, Husqvarna bagi memperkenalkan jenama itu menerusi satu siri jelajah motosikal khas. 

 

Siri jelajah itu akan memperkenalkan model motosikal Cafe Racer Husqvarna dengan permulaan di cawangan Richiamo Coffee Cyberjaya dan tamat di Richiamo Coffee Bukit Beruntung.

 

Sesi jelajah itu telah dimulakan di Richiamo Coffee UTMKL pada Sabtu lalu kemudian diteruskan ke Richiamo Coffee Cyberjaya (6 November) dan berakhir di Richiamo Coffee Bukit Beruntung (13 November).

 

Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, melalui kerjasama itu, Husqvarna akan membawa motosikal model Svartpilen 250, Vitpilen 401 dan Svartpilen 401 ke cawangan Richiamo Coffee di sekitar Lembah Klang dan para peminat motosikal itu boleh melakukan tunggang uji (test ride) yang disediakan.

 

Siri jelajah itu dibawakan oleh pengedar Husqvarna Wilayah Tengah, Welly World Cycle Sdn. Bhd. 

 

Zamry berkata, jika siri jelajah ini berjaya menarik ramai peminat motosikal Cafe Racer menguji pihak Husqvarna bersedia untuk meluaskan sesi uji tunggang di rangkaian Richiamo Coffee seluruh negara dengan sokongan para pengedarnya.

 

“Richiamo Coffee berbangga kerana ada jenama antarabangsa berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan jenama tempatan dan kami merasakan ia satu peluang yang tidak boleh dilepaskan,” 

 

“Kebetulan pula model yang diperkenal ini merupakan model Cafe Racer dan ia bersesuaian dengan konsep kafe Richiamo Coffee katanya.

 

Para pengunjung yang menyertai sesi tunggang uji itu, boleh menikmati minuman Richiamo Coffee yang disediakakn di setiap lokasi tersebut.-DagangNews.com