Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad (kiri) dan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor (kanan), menunjukkan dokumen MoU yang telah ditandatangani antara kedua-dua pihak.
KUALA LUMPUR 6 Okt. - SIRIM Berhad akan mengkomersialkan hasil penyelidikan Universiti Malaya (UM) ke dalam pasaran melalui transformasi idea kepada perniagaan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Ini adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman Kerjasama (MoU) di antara UM dan SIRIM Tech Venture Sdn. Bhd. (STV), anak syarikat milik penuh SIRIM yang akan membuka jalan dalam pelaksanaan inisiatif di antara pihak industri dan institusi pengajian tinggi.
MoU ini ditandatangani antara Naib Canselor UM, Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad.
Mohd Hamdi berkata, perjanjian ini akan membawa hasil inovasi dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik UM ke peringkat seterusnya.
Katanya, kerjasama ini menandakan bermulanya pencetusan idea yang akan diperkembangkan dan mempromosi hasil kerja penyelidik UM ke arah penghasilan teknologi yang menepati standard piawaian dan berkualiti tinggi dalam bidang perindustrian Malaysia.
“Ini akan memberi pulangan kepada sektor ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan serta kualiti hidup individu dan masyarakat.
“Perjanjian ini juga akan meneroka potensi untuk pengkomersilan teknologi termasuk promosi dan pemasaran teknologi dalam saluran pemasaran yang betul dan strategi pemasaran oleh kedua entiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Noorsaadah Abd Rahman dan Penolong Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Shaliza Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif STV, Ajmain Kassim.
Sementara itu, Ahmad Sabirin berkata, melalui kerjasama ini, STV akan memberi khidmat nasihat dan perkhidmatan pengkomersialan teknologi STV kepada UM yang dapat membantu penyelidik universiti dalam pengkomersialan inovasi mereka.
Katanya, STV dan UM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang peningkatan keupayaan modal insan melalui latihan, bengkel, seminar pendidikan dan ceramah.
"Selain itu, STV turut menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah pengkomersialan perniagaan terutama Penilaian Teknologi (Penganalisis Penilaian Paten Bertauliah), Kajian Kebolehlaksanaan Pasaran dan lain-lain yang berkaitan dengan pengkomersialan teknologi sebagai nilai tambah kepada usaha sama ini,” katanya.
Menurutnya, STV kini giat menjalinkan kerjasama daripada pelbagai universiti, industri, agensi dan institusi penyelidikan di dalam bidang pengkomersialan teknologi.
“SIRIM berharap STV akan lebih dikenali sebagai entiti pengkomersialan teknologi dan sebagai tempat rujukan kepada industri pada masa akan datang.
"Ini akan menjadi tonggak utama bagi SIRIM dalam meningkatkan kadar penggunaan teknologi dan kebolehpasaran inovasi di pasaran,” tambah beliau. - DagangNews.com