Sirim Tech Venture, Bion meterai MoU majukan pengeluaran biogas asli | DagangNews Skip to main content

Sirim Tech Venture, Bion meterai MoU majukan pengeluaran biogas asli

Sirim Tech Venture Sdn. Bhd. (STV)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Sirim Tech Venture Sdn. Bhd. (STV) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan alam sekitar dan tenaga diperbaharui, Bion Sdn. Bhd. (Bion).

 

MoU berkenaan bertujuan untuk menggalakkan kerjasama antara kedua-dua syarikat dalam pengedaran gas tenaga melalui Sistem Perpaipan Virtual (Virtual Pipeline System), penubuhan hab bio-tenaga untuk menghasilkan potensi kewangan daripada sisa pertanian dan perindustrian serta ujian perintis bagi pengeluaran biogas asli daripada loji kuasa biogas sedia ada.

 

MoU yang menjadi bukti kejayaan usaha Sirim dalam memajukan teknologi biotenaga ke pasaran itu telah ditandatangani dalam satu majlis yang dijalankan secara dalam talian hari ini. 

 

STV diwakili oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani, manakala BION pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Syed Nazim Syed Faisal.

 

STV dan Bion juga akan mewujudkan kerjasama teknikal dalam pengeluaran biogas termampat dan sistem yang berkaitan, serta projek berpotensi lain yang berkaitan dengan Waste-to-Energy (Sisa Buangan kepada Tenaga).

 

MoU berkenaan diusahakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Platform Koordinasi Pelaburan Domestik, yang memadan dan memudahkan penyedia teknologi dengan rakan industri dalam rantaian nilai biotenaga bagi meneroka peluang dan masa hadapan industri tersebut.

 

Ahmad Fadzil Mohamad Hani
 Ahmad Fadzil Mohamad Hani

 

Dalam pada itu, Ahmad Fadzil berkata, dalam menyokong industri biogas, Sirim membangunkan penyelesaian inovatif bagi pengeluaran biogas selain menaiktaraf kualiti seperti gas asli atau biogas asli.  

 

“Sirim mempunyai kepakaran merentasi keseluruhan rantaian nilai daripada penulenan dan pengeluaran, pengedaran melalui Sistem Perpaipan Virtual (VPS), penggunaan dan pembangunan standard serta pengujian dan penentusahan.

 

"Sirim telah berjaya membangunkan dan membuat demonstrasi kesesuaian teknikal dan ekonomikal biogas asli (BioNG) untuk akses pasaran melalui sebuah loji demonstrasi. Loji demonstrasi BioNG itu dibangunkan pada tahun 2016 di Merotai, Tawau. Ia mampu menghasilkan 6,000m padu biogas asli atau bersamaan dengan 6,000 liter diesel sehari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tenaga biogas kini berpotensi untuk menghasilkan 736MW tenaga yang diperoleh daripada sisa buangan kelapa sawit, najis haiwan ternakan dan sumber kambus tanah di negara ini. 

 

Penggunaan tenaga daripada biogas dianggarkan sebanyak 25% daripada jumlah berkenaan.

 

Tambah Ahmad Fadzil, melalui penyelesaian BioNG Sirim, pihaknya menjangkakan dapat menyumbang kepada penggunaan teknologi yang berkenaan dalam menukarkan biojisim yang banyak itu kepada produk tenaga diperbaharui.

 

“Menurut Statistik Tenaga Malaysia 2019, biogas menyumbang sebanyak 0.1% sahaja atau 41 ktoe (kilo ton oil equivalent) sebagai input tenaga kepada loji kuasa. Sudah tentu banyak yang boleh diterokai di sini," ujar beliau lagi. 

 

STV yang merupakan anak syarikat milik penuh Sirim itu berpangkalan di Shah Alam dan berperanan untuk mempercepatkan pengkomersialan perniagaan termasuklah usaha penyelidikan dan inovasi Sirim ke pasaran. - DagangNews.com