SISMA Auto Hub kini dibuka di Glenmarie | DagangNews Skip to main content

SISMA Auto Hub kini dibuka di Glenmarie

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - SISMA Auto Hub telah dibuka kepada orang ramai untuk membeli, menjual atau mendapatkan servis bagi sebarang jenama kereta mewah di tapak yang dahulunya merupakan pusat 3S Jaguar Land Rover, Glenmarie, Shah Alam.

 

Ini berikutan langkah yang diambil Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn. Bhd. (JLRM), usaha sama antara SISMA Auto dan Sime Darby baru-baru ini untuk menggabungkan operasi runcitnya di Malaysia. 

 

Langkah ini menyaksikan pengambilalihan aset pengedar dan pemindahan kakitangan daripada Sime Darby Auto Connexion dan SISMA Auto serta penggabungan operasi runcit ke Ara Damansara dan Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang. 

 

Walaupun SISMA Auto masih mengekalkan pegangan signifikan bagi perniagaan Jaguar Land Rover sebagai rakan niaga di JLRM, kini ia merancang menggunakan pengalamannya selama lebih 25 tahun sebagai pengedar francais bagi Jaguar, Land Rover dan Volvo untuk menawarkan pengalaman 3S premium yang sama bagi sebarang jenama kereta mewah.

 

SISMA Auto Hub Glenmarie menampilkan bilik pameran yang memuatkan 14 buah kereta dan 16 ruangan servis yang dilengkapi dengan peralatan dan kelengkapan diagnostik terkini. 

 

Pengarah Urusan SISMA Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim berkata, pengalaman premium 3S sewajarnya disediakan untuk semua pemilik kereta mewah. 

 

"Di SISMA Auto Hub, pasukan kami yang berkemahiran tinggi akan memberikan perkhidmatan unggul yang sinonim dengan SISMA Auto,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Selain daripada JLRM dan SISMA Auto Hub, syarikat tersebut pada masa ini mengendalikan dua cawangan Volvo, iaitu bilik pameran di Bukit Bintang, dan Pusat Service and Selekt di Glenmarie, yang terletak bersebelahan dengan SISMA Auto Hub. 

 

 

sisma

 

 

Volvo Car Malaysia telah mengiktiraf SISMA Auto menerusi anugerah 'Dealer of the Year' untuk dua tahun berturut-turut iaitu 2020 dan 2021.

 

SISMA Auto menyasarkan untuk terus berkembang bersama jenama Volvo di Malaysia dan telah memulakan kerja pembinaan pusat kemudahan utama Volvo 3S di Sungai Besi. 

 

 

sisma

 

 

Pusat 3S empat tingkat yang mempunyai keluasan 50,000 kaki persegi itu melambangkan kemajuan perniagaan Volvo dikendalikan oleh SISMA Auto. 

 

Pusat kemudahan SISMA Auto Volvo yang baharu dijangka akan mula beroperasi pada penghujung 2022. - DagangNews.com