Sistem kesihatan boleh lumpuh jika kes meningkat - PM | DagangNews Skip to main content

Sistem kesihatan boleh lumpuh jika kes meningkat - PM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 11 Jan. - Fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) ketika ini sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem penjagaan kesihatan berada pada tahap kritikal. 

 

Beliau menjelaskan, sebanyak 15 hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70%.

 

Di Lembah Klang, katanya, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100% manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83%. 

 

Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di 5 buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70%.

 

"Buat masa ini, terdapat lebih daripada 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

 

"Jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41%," katanya dalam taklimat khas petang ini. 

 

Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding 2 hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020.

 

Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di bawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).

 

"Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri. 

 

"Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal," jelas beliau. 

 

Perdana Menteri berkata, peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. 

 

"Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat," katanya. - DagangNews.com