Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa meninjau keadaan mangsa banjir di Dewan Besar D'Sury, Jelebu, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam sistem pengurusan banjir terutamanya di Selangor namun ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, tanggungjawab pengurusan bencana banjir bukan sahaja melibatkan kerajaan Persekutuan tetapi kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkaitan setiap daerah juga penting.
"Saya tidak menafikan (kelemahan) dan akan menambah baik pada masa akan datang... Tanggungjawab banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan frontliners adalah daerah-daerah.
"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya koordinator... kalau dianggap kelemahan koordinasi saya tidak membela sesiapa dalam keadaan begini, bagi saya semua perlu dipertanggungjawabkan," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Besar D'Sury, Jelebu, lapor Bernama.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semasa mesyuarat secara maya bersama menteri besar negeri-negeri lain pagi tadi, beliau dimaklumkan kesiapsiagaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang teratur kerana situasi banjir sering berlaku di negeri tersebut.
“Namun berbeza di Selangor, bencana yang menimpa negeri itu adalah di luar jangkaan.
"Cuma di Selangor ada masalah… kita transparent (telus) dari segi ini dan saya tidak mahu melindungi sesiapa… di negeri lain, pantai timur, banjir telah jadi seperti acara tahunan.
"Jadi semua persiapan sudah dibuat termasuk dengan data lengkap… hanya menunggu untuk buka PPS atau tidak sahaja, kedua PPS dikenal pasti dan sudah ada, setiap tahun semua akan pindah ke tempat yang sama," katanya.
Perdana Menteri berkata, peraturan membuka pusat operasi bencana mempunyai prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi iaitu apabila sebuah rumah terjejas, wajib membuka bilik gerakan.
Katanya di Selangor bukan satu rumah terjejas tetapi semua terkesan banjir dan mangsa berpindah secara serentak terutamanya di daerah Petaling dan Shah Alam.
"Saya tidak menyalahkan netizen membuat aduan, saya berterima kasih kerana terus mengadu kepada saya," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri sempat meluangkan masa bersama mangsa banjir di Dewan Besar D'Sury dan pada masa sama mahukan mereka semua mendapat keselesaan yang sepatutnya.
"Air sudah pun surut. Saya mahu pusat pengurusan bencana daerah menumpukan perhatian kepada tindakan pasca banjir seperti pembersihan kawasan, rumah individu, tempat awam dan lain-lain supaya mangsa banjir boleh segera pulang ke rumah masing-masing.
"Terima kasih saya ucapkan di atas pelbagai bantuan yang diberikan daripada semua pihak sejak musibah banjir melanda negara kita.
"Ini merupakan sedikit garis panduan yang boleh melancarkan urusan kesukarelawanan anda," katanya menerusi laman Facebooknya.- DagangNews.com