SK Port Dickson pilih perisian simulasi robot GoTechUp memperkasa pendidikan STEM | DagangNews Skip to main content

SK Port Dickson pilih perisian simulasi robot GoTechUp memperkasa pendidikan STEM

Berdiri di barisan hadapan (dari kiri) Ainaa Rosli dan Zuraidah Ahmad bersama pelajar dan warga pendidik SK Port Dickson
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Tech Up Sdn. Bhd. menyediakan perisian simulasi robotik GoTechUp di SK Port Dickson untuk program pembelajaran robotik secara maya untuk program yang dilaksanakan setiap bulan sepanjang tahun 2023.

 

Syarikat penyedia penyelesaian pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) itu berkata sekolah tersebut menggunakan perisian tersebut bermula 17 April,  melibatkan lebih 600 murid dari Darjah 3 hingga 6.

 

Selain program ini, SK Port Dickson akan meneruskan kolaborasi pintar dengan syarikat Tech Up dan menggunakan produknya dalam aktiviti Kelab Robotik yang baharu ditubuhkan di sekolah ini.

 

Perisian simulasi robotik GoTechUp mengetengahkan konsep pembelajaran kendiri yang membantu murid meningkatkan kemahiran dalam pengaturcaraan dan kemahiran pemikiran kritikal bermula dari peringkat awal hingga ke peringkat tertinggi. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Tech Up, Ainaa Rosli telah menerima maklum balas positif mengenai perisian tersebut yang dapat memberi impak disasarkan iaitu mengurangkan rasa takut murid dan pendidik terhadap STEM dan pendigitalan.

 

 

Ainaa Rosli
Ainaa Rosli

 

 

Sementara itu, Guru Besar SK Port Dickson, Zuraidah Ahmad berkata sekolah tersebut mula berminat dengan perisian tersebut apabila terlibat dalam program anjuran syarikat tersebut tahun lalu.

 

“Bukan sahaja menjimatkan kerana pembelajaran boleh dilakukan secara maya tanpa robot fizikal, bahkan GoTechUp juga menjadikan pembelajaran sesuatu yang lebih menyeronokkan bagi murid-murid untuk dapatkan kemahiran baharu yang kritikal.

 

Faktor ini memenuhi keperluan ketika kami cuba mempersiapkan generasi muda untuk dunia digitalisasi yang akan ditadbir mereka pada masa akan datang,” katanya.

 

GoTechUp menampilkan antara muka mesra pengguna yang membantu murid-murid mempelajari subjek robotik dengan kaedah menyeronokkan dan selain Malaysia, perisian ini juga telah digunakan di Australia, Chile, China, Colombia, Perancis, Jepun, Hong Kong, Macau, Filipina, dan Korea Selatan.

 

 

(Dari kiri) Zuraidah Ahmad; Pegawai SIP+, PPD Port Dickson merangkap Sahabat Sekolah SK Port Dickson, Dr. Murni Mohamad Yasin; Penyelaras STEM Negeri, Unit Sains & Matematik, JPNNS, Bilezan Baghdadi; AJK Unit ICT SK Port Dickson, Kamalanathan Muthu; Naib Presiden merangkap Ketua Pembangunan Perniagaan, Nursyarida Shariff; Penyelaras Robotik dan Digitalisasi SK Port Dickson, Mohd Faizal Zakaria.
(Dari kiri) Zuraidah Ahmad; Pegawai SIP+, PPD Port Dickson merangkap Sahabat Sekolah SK Port Dickson, Dr. Murni Mohamad Yasin; Penyelaras STEM Negeri, Unit Sains & Matematik, JPNNS, Bilezan Baghdadi; AJK Unit ICT SK Port Dickson, Kamalanathan Muthu; Naib Presiden merangkap Ketua Pembangunan Perniagaan, Nursyarida Shariff; dan Penyelaras Robotik dan Digitalisasi SK Port Dickson, Mohd Faizal Zakaria.

 

 

“Kunci untuk menormalisasi digitalisasi dan pendidikan STEM dalam kalangan generasi muda adalah untuk mendedahkan dan menyokong pertumbuhan mereka dari usia muda.

 

Oleh itu, kami percaya GoTechUp menyediakan murid dengan akses dan peluang sama rata kepada pendidikan STEM, yang mendokong cita-cita negara ke arah pendigitalan,” tambah Ainaa.

 

Menurut beliau, program Robot-4-School yang dianjurkan tahun lalu memberi guru bertanggungjawab SK Port Dickson peluang meneroka kit robotik percuma dan modul pembelajaran sepanjang tahun justeru pemilihan perisian tersebut pada hari ini menunjukkan keyakinan pendidik untuk memperjuangkan STEM. -DagangNews.com