Skim pembiayaan NCIA-CIMB sedia rebat sehingga RM5 juta kepada usahawan di utara | DagangNews Skip to main content

Skim pembiayaan NCIA-CIMB sedia rebat sehingga RM5 juta kepada usahawan di utara

KUALA LUMPUR 1 Ogos -  CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB) memperkenalkan Skim Usahawan NCIA-CIMB (NCES) kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khusus di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak.

 

Skim itu menawarkan sehingga RM5 juta rebat ke atas faedah dan keuntungan daripada pinjaman dan pembiayaan PKS CIMB yang bertujuan untuk terus merangsang pertumbuhan perniagaan tempatan dan menyokong pembangunan serta pemulihan ekonomi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB, Victor Lee Meng Teck berkata, skim tersebut memberi peluang kepada bank untuk menyediakan bantuan yang amat diperlukan dalam bentuk rebat pakej pembiayaan untuk PKS di wilayah utara di samping menggalakkan semangat keusahawanan.

 

"Oleh itu, NCES adalah tepat pada masanya kerana kami komited terhadap menghidupkan semula dan merangsang pertumbuhan perniagaan PKMS yang merupakan pemacu utama dalam pemulihan ekonomi Malaysia.

 

"Kami berharap dapat memainkan peranan yang berterusan sebagai pemangkin pertumbuhan dan usaha kami terus memberi impak positif kepada komuniti, PKS dan ekonomi secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

CIMB
Penolong Pengurus Unit Usahawan dan PKS NCER, Wan Mastura Mohd Zain (dari kiri) bersama Pengarah Modal Insan/Sekretariat Jabatan Modal Insan NCIA, Datuk Shahdee Ahmad; Ketua Perbankan PKS CIMB, Jaya Balan Kathiravalu dan Pengarah Perbankan Islam CIMB, Mohd Rizal Khir pada program Jangkauan Komuniti PKS baru-baru ini.

 

 

NCES ialah kerjasama antara CIMB dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang dilancarkan pada Februari 2022.

 

Skim itu bertujuan menggiatkan semula pembangunan hampir 1,500 PKS, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12, melalui pengurangan kos pembiayaan melalui subsidi faedah/keuntungan.

 

PMKS yang layak akan diberikan rebat 50% ke atas jumlah faedah dan keuntungan Pembiayaan Quick Biz CIMB SME.

 

Ini termasuk pembiayaan di bawah Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF), kemudahan pembiayaan yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memberikan bantuan dan menyokong pemulihan PKS yang terjejas akibat pandemik.

 

Di bawah NCES, CIMB akan menjadi pembiaya kemudahan manakala peranan NCIA adalah untuk membantu PMKS yang layak mengurangkan kos pembiayaan mereka melalui subsidi.

 

Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) pula, akan menjadi agensi tunggal yang menyediakan perlindungan jaminan sehingga 70% ke atas pembiayaan yang diberikan kepada PMKS. - DagangNews.com