SKM pasang 197 papan tanda sempena Sambutan 100 Tahun Koperasi | DagangNews Skip to main content

SKM pasang 197 papan tanda sempena Sambutan 100 Tahun Koperasi

Zazali Haron (kanan) ketika Majlis Perasmian Billboard di Menara SKM di ibu negara, hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jun - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus mempergiatkan usaha mempromosikan Sambutan 100 Tahun Koperasi dengan tema ‘100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia’ menerusi pemasangan 197 papan tanda di seluruh negara. 

 

Pengerusi Eksekutifnya, Zazali Haron berkata, objektif utama sambutan itu adalah bagi memberi pengiktirafan sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, mengiktiraf koperasi sebagai entiti Social Solidarity Enterprise (SSE) yang bertindak sebagai ejen penyatuan sosial dan masyarakat serta mempromosikan konsep berkoperasi sebagai satu institusi keusahawanan.

 

Beliau berkata, SKM negeri dan koperasi turut menaikkan papan tanda itu bagi mempromosikan sambutan tersebut.

 

“Gerakan koperasi memainkan peranan sangat besar dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

 

“Sumbangan koperasi harus dilihat dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat yang membawa kepada kemakmuran bersama, bukan hanya mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

“Koperasi juga merupakan salah satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada anggota dan masyarakat,” katanya pada Majlis Perasmian Billboard di Menara SKM di sini, hari ini. 

 

Zazali berkata, pemasangan papan tanda itu diharapkan dapat menarik perhatian generasi muda untuk mendekati koperasi, sekali gus menjadi sebahagian daripada anggotanya. 

 

“Peranan Gerakan Koperasi sebagai sektor ketiga dan ia memberikan impak terhadap ekonomi dan sosial termasuk peluang pekerjaan kepada masyarakat lebih-lebih lagi generasi muda. 

 

“Koperasi juga amat mengalu-alukan anak muda untuk menyertai Gerakan Koperasi untuk memulakan perniagaan mereka sendiri, selain pelbagai manfaat yang tersedia dan bukannya sebagai badan kebajikan semata-mata,” katanya. 

 

Buat masa ini katanya, papan tanda pemula dipasangkan di Menara SKM selain papan digital bakal dinaikkan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, sekitar Lembah Klang serta kawasan tumpuan awam seperti di Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) dan Transit Aliran Ringan (LRT) bagi mempromosi serta menghebahkan sambutan tersebut.

 

Tambah beliau, pelbagai aktiviti dan program dirancang SKM sepanjang Sambutan 100 Tahun Koperasi kali ini. - DagangNews.com