Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Pelbagai tindakan proaktif terus diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha menangani masalah capaian internet di seluruh negara.
SKKM dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu dibuat agar para penduduk berpeluang untuk menikmati perkhidmatan internet berkualiti serta menjalani kehidupan yang lebih baik.
Berikut adalah kawasan dan tindakan yang diambil SKMM;
1) Kg. Sri Kledang, Hulu Selangor
- Pihak SKMM telah melakukan tinjauan di lokasi aduan dan mengadakan perjumpaan dengan pengadu.
- Sebagai penyelesaian jangka pendek, sebuah menara baharu sedang dibina berdekatan dengan Kg. Sri Kledang dan menara berkenaan dijangka beroperasi pada hujung Mac 2021 ini.
- Penyelesaian jangka panjang pula akan menyaksikan sebuah menara komunikasi di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dibina di perkampungan Orang Asli Changkat Ramu.
- Jarak antara menara yang dicadangkan pembinaan di perkampungan Orang Asli Changkat Ramu dengan Kg. Sri Kledang adalah kira-kira 2.1 kilometer.
- Proses pembinaan menara tersebut dijangka bermula pada awal tahun 2022.
2) Kg. Sungai Tengar, Tebuk Mufrad Sabak Bernam
- Sebagai penyelesaian jangka pendek, SKMM telah menghubungi syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan untuk melaksanakan pengoptimuman antena menara komunikasi di kawasan-kawasan kampung itu dan dijangka siap menjelang hujung Februari ini.
- Untuk penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara baharu akan dibina di kawasan aduan di bawah pelan JENDELA dan kerja-kerja pembinaan menara dijangka bermula pada hujung 2021 ini.
3) Kampung Orang Asli Tasik Mentiga, Pahang
- Untuk penyelesaian jangka pendek, SKMM telah mengarahkan pihak Celcom untuk melaksanakan kerja-kerja pengoptimuman pada menara Kg. Paya Mentiga dan ia dijangka siap pada hujung Mac 2021.
4) Kg. Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan
- Sebagai penyelesaian jangka pendek, SKMM telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk melaksanakan kerja-kerja pengoptimuman antena menara komunikasi berdekatan bagi meningkatkan kualiti capaian Internet di kawasan terbabit dan dijangka siap dalam hujung Mac 2021.
- Sementara untuk penyelesaian jangka panjang, sebuah menara baharu dicadang untuk dibina di kawasan Kampung Orang Asli yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tadika Nur Najihah di bawah pelan JENDELA akan datang.
5) Kg. Payong, Setiu
- SKMM telah mengadakan lawatan ke lokasi aduan dan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) berserta beberapa orang penduduk Kg. Payong bagi mendapatkan maklumat lanjut selain menyemak kualiti liputan rangkaian telekomunikasi.
- Bagi penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara komunikasi di Kg. Payong akan dinaik taraf di bawah pelan JENDELA dan dijangka bermula pada suku kedua 2021.
6) Kg. Bukit Chempedak, Kg. Jerong Seberang, Kg. Jerong Surau dan Kg. Jerong Tuan, Pengkalan Berangan Marang
- Pelbagai langkah susulan bakal diambil antaranya ialah menaik taraf menara komunikasi di Kg. Jerung Seberang dan ini akan dilaksanakan di bawah pelan JENDELA yang dijangka bermula pada suku kedua 2021.
- Di samping itu, sebuah menara komunikasi baharu akan dibina di Kg. Bukit Chempedak di bawah pelan JENDELA yang akan bermula pada awal tahun 2022.
Tambah SKMM, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan-tindakan yang telah diambil selain mengambil langkah susulan agar masalah capaian internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh. - DagangNews.com