Skor ESG Nestle bertambah baik, Maybank IB naikkan taraf saranan kepada `pegang' | DagangNews Skip to main content

Skor ESG Nestle bertambah baik, Maybank IB naikkan taraf saranan kepada `pegang'

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Maybank Investment Bank menaikkan taraf saranan Nestle (Malaysia) Berhad kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) kekal pada RM119 selepas meningkatkan skor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan itu kepada 65 daripada 100 berbanding 55 sebelumnya.

 

Peningkatan skor ESG tersebut adalah selepas ia mengambil kira pengurangan ketara jumlah pelepasan karbon dan peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

 

“Pada pandangan kami, kemajuan ESG dan ketersediaan data Nestle juga lebih baik daripada pengilang makanan dan minuman (F&B) yang lain di bawah liputan sektor pengguna kami. Anggaran pendapatan kami dikekalkan,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, berdasarkan laporan tahunan 2022 terbaharu Nestle, langkah selanjutnya telah dibuat dalam mengurangkan jejak karbonnya, kerana gabungan skop 1, 2 dan 3 pelepasannya telah menurun 46% YoY daripada 62,600 tan pelepasan karbon dioksida (CO2e) pada 2021.

 

Jelasnya, ini sebahagian besarnya disebabkan oleh langganan Nestle bagi program Tarif Elektrik Hijau oleh Tenaga Nasional dan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui daripada Sarawak Energy kerana semua kemudahan pembuatannya telah beralih 100% kepada tenaga solar dan hidro.

 

“Selain daripada penambahbaikan yang jelas dalam aspek alam sekitar Nestle, kumpulan itu juga menonjol dalam kalangan syarikat pesaing dalam ketelusan data kemampanan, dan semakan kemajuan untuk memastikan hala tujunya ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050 berada di landasan yang betul,” tambahnya.

 

Mengulas pendapatan Nestle bagi tahun kewangan 2023 (FY23), Maybank IB berkata unjuran pertumbuhan sebanyak 11% tahun ke tahun (YoY) adalah berdasarkan permintaan yang berdaya tahan untuk produk F&B ruji dan penjimatan kecil YoY susulan pengurangan purata harga jualan (ASP) bahan mentah utama tertentu.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya peningkatan dalam perbelanjaan pengiklanan dan promosi jualan (A&P) mungkin diperlukan untuk memacu pertumbuhan nilai melangkaui FY23.

 

Katanya, ini disebabkan oleh kelembapan umum dalam perbelanjaan pengguna (perbelanjaan akhir tahun bermusim, Krismas dan Tahun Baru Cina dikecualikan). 

 

Pada pukul 11:27 pagi ini, saham Nestle telah susut RM1.80 atau 1.5% kepada RM115.90 dengan permodalan pasaran bernilai RM27.2 bilion. - DagangNews.com