SkyWorld meterai perjanjian taja jamin bersama Kenanga Investment untuk penyenaraian IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

SkyWorld meterai perjanjian taja jamin bersama Kenanga Investment untuk penyenaraian IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jun - SkyWorld Development Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Kenanga Investment Bank Berhad untuk tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraian di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang akan berlangsung pada suku ketiga 2023.

 

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 208 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 192 juta saham sedia ada merangkumi tawaran runcit sebanyak 75 juta saham atau 7.5% daripada saham yang diperbesarkan.

 

Sejumlah 50 juta saham tersedia kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian dan 25 juta saham untuk permohonan oleh pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan syarikat.

 

Selain itu, ia melibatkan tawaran institusi sebanyak 325 juta saham mewakili 32.5% daripada saham terbitan yang diperbesarkan, dengan 150 juta akan ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementeria Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan 175 juta saham kepada pelabur institusi dan terpilih yang lain.

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Bukan Bebas SkyWorld, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, hasil daripada IPO akan digunakan untuk mengembangkan bank tanah syarikat, membayar balik pinjaman banknya, sebagai modal kerja, dan untuk membayar kos penyenaraian.

 

“Kami sangat teruja untuk mengumumkan pemeteraian perjanjian taja jamin untuk IPO kami. Dengan ini, kami selangkah lebih dekat ke arah penyenaraian kami di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

“Kami berharap untuk mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam pasaran dan menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan Kumpulan dan Perbankan Islam Kenanga Investment Bank, Datuk Roslan Tik berkata, pihaknya berbesar hati dan menyokong perjalanan penyenaraian SkyWorld sebagai penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan mereka.

 

"Kualiti dan lokasi strategik pembangunan SkyWorld meletakkan mereka dalam kedudukan yang baik untuk mencapai pertumbuhan pada tahun-tahun akan datang dan meletakkan diri mereka sebagai pemaju hartanah terkemuka," katanya. - DagangNews.com