SLP dijangka catat pemulihan sederhana didorong lonjakan semula pasaran eksport - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

SLP dijangka catat pemulihan sederhana didorong lonjakan semula pasaran eksport - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) menjangkakan SLP Resources Bhd mencatatkan pemulihan sederhana didorong peningkatan semula dalam pasaran eksport, khususnya Jepun.

 

Katanya, pertumbuhan pertumbuhan gaji yang lebih kukuh, subsidi kerajaan dan inflasi yang lebih sederhana, hasil daripada pelarasan kadar faedah Bank of Japan baru-baru ini, dijangka meningkatkan perbelanjaan pengguna.
 

"Kumpulan itu telah menyaksikan lonjakan dalam tempahan daripada pasaran Jepun, dengan hasil meningkat sebanyak 54% kepada RM16 juta, menyumbang 38% kepada hasil kumpulan pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pengilang pembungkusan plastik itu menyaksikan untung bersihnya susut 32.7% kepada RM3.3 juta walaupun hasil lebih tinggi disebabkan purata harga jualan (ASP) yang lebih rendah sebagai tindak balas kepada persaingan sengit dalam industri pembungkusan.

 

"Ini diburukkan lagi dengan kos bahan, pengangkutan dan insurans yang lebih tinggi akibat daripada pengenaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan logistik dan peningkatan dalam kadar cukai perkhidmatan yang baru disemak daripada 6% kepada 8%," katanya.

 

Mengenai prospek, PublicInvest berkata, industri pembungkusan plastik fleksibel masih menghadapi cabaran disebabkan ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan, serta kos pengeluaran yang tinggi.

 

Bagaimanapun, katanya, walaupun terdapat halangan ini, terdapat tanda-tanda peningkatan beransur-ansur dalam persekitaran operasi dan pemulihan dalam permintaan.

 

“Inflasi utama menunjukkan tanda-tanda semakin reda, manakala permintaan dijangka bertambah baik, disokong penggunaan domestik yang berdaya tahan, peningkatan pelancongan, dan pengambilan kukuh daripada pasaran Jepun.

 

"Selain itu, kumpulan juga memperuntukkan RM6 juta bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk menembusi pasaran berpotensi lain dan meningkatkan kecekapan pengeluaran," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menaik taraf saranan kepada 'neutral' berbanding 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 86 sen sesaham. - DagangNews.com