SLP Resources Berhad tidak akan catat sebarang peningkatan pendapatan ketara pada 2QFY23, kata Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

SLP Resources Berhad tidak akan catat sebarang peningkatan pendapatan ketara pada 2QFY23, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mei - Kenanga Research menjangkakan SLP Resources Berhad tidak akan menunjukkan sebarang peningkatan pendapatan yang ketara pada 2QFY23 selepas kumpulan itu menunjukkan kadar penggunaan yang lemah di bawah 50% pada 1QFY23.

 

Firma itu berkata, kadar penggunaan pada suku sebelum ini adalah lebih rendah berbanding 54% setahun lalu.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan kumpulan itu akan menunjukkan peningkatan antara 55% hingga 60% pada 2HFY23 disokong oleh peningkatan produktiviti selepas 1QFY23 mencatatkan produktiviti yang rendah akibat cuti perayaan yang panjang.

 

"Peningkatan itu juga dibuat berdasarkan andaian ekonomi global bersedia untuk pemulihan pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga dijangka berdepan tekanan kos berterusan pada 2QFY23 dan kumpulan itu sedang meningkatkan usaha bagi membendung kos dengan meminimumkan syif lebih masa yang tidak perlu (terutama semasa musim perayaan).

 

Katanya, pemasangan lima baris pembungkusan automatik (yang mana satu telah disiapkan pada 1QFY23 dan baki empat lagi oleh 3QFY23) yang akan mengurangkan pergantungannya kepada buruh yang kosnya meningkat secara konsisten.

 

Sementara itu, Mordor Intelligence mengunjurkan pasaran pembungkusan plastik global berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 3.5% pada 2022-2027.

 

"Kami percaya pemain tempatan boleh berkembang pada kadar yang lebih pantas dalam tempoh tersebut kerana mereka memperoleh bahagian pasaran daripada pengeluar luar negara yang kehilangan daya saing disebabkan peningkatan kos pengeluaran.

 

"Bagaimanapun, dalam tempoh terdekat, sektor yang bergantung kepada eksport ini tidak akan terlepas daripada kelembapan ekonomi global," katanya.

 

Kumpulan itu bagaimanapun akan berdepan beberapa cabaran termasuk peningkatan harga resin, kemelesetan mendadak dalam ekonomi global yang akan menjejaskan permintaan untuk bahan pembungkusan dan kekurangan tenaga kerja.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'market perform' dengan harga sasaran (TP) RM1.09 sen sesaham. - DagangNews.com