smart Malaysia buka pusat pengedar kenderaan kedua di Johor Bahru | DagangNews Skip to main content

smart Malaysia buka pusat pengedar kenderaan kedua di Johor Bahru

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos - smart Malaysia mengumumkan pembukaan pusat pengedar kenderaan kedua di Johor Bahru yang dikendalikan oleh AG Autoworld bagi meningkatkan akses kepada kenderaan elektrik (EV) di wilayah selatan yang kini sedang membangun pesat.

 

Menurut smart Malaysia, pelantikan AG Autoworld sebagai pengendali hab baharu itu menandakan langkah penting dalam misinya untuk memupuk penglibatan komuniti dan mengembangkan pilihan pengangkutan lestari.

 

Ditubuhkan pada tahun 1999, pusat pengedar kenderaan itu yang kini dikenali sebagai smart Johor Bahru 2 itu telah membina reputasi yang kukuh sejak penubuhannya.

 

Kata smart Malaysia, AG Autoworld baru-baru ini telah memenangi pelbagai anugerah berprestij di bawah jenama Proton semasa Persidangan Pengedar Proton 2024 & Anugerah Pengiktirafan termasuklah anugerah emas dan penghormatan tertinggi dalam jumlah jualan. 

 

"Smart Johor Bahru 2 mencerminkan komitmen smart Malaysia dalam memenuhi keperluan peminat EV yang semakin meningkat dan meluaskan jangkauan kami dalam komuniti," ujar smart Malaysia dalam kenyataan hari ini. 

 

Dalam usaha smart Johor 2 memenuhi keperluan pelanggan, pusat pengedar kereta itu akan menawarkan rangkaian perkhidmatan menyeluruh, khusunya kepada peminat EV moden. 

 

Selain itu, smart Malaysia berkata, hab pengeluaran kereta komuniti yang dinamik itu juga menyediakan pengalaman yang lancar dan menyeluruh kepada pelanggan EV.

 

"Penasihat terlatih sedia ada akan membimbing dan membantu para pelanggan dari membuat pilihan kereta kami sehingga penjagaan selepas jualan," ulasnya.  

 

Di samping itu, smart Johor 2 akan membuka bilik pameran seawal suku keempat tahun meliputi luas 230m² bagi tiga unit ruang pameran dan ruang penghantaran.

 

Dengan pembukaan smart Johor Bahru 2, smart Malaysia kini mempunyai sejumlah 13 pengedar yang dilantik dengan 14 outlet, di mana 12 daripadanya telah beroperasi, termasuklah hab yang baharu itu.- DagangNews.com