smart Malaysia rai pengedaran 100 unit kenderaan elektrik smart #1 | DagangNews Skip to main content

smart Malaysia rai pengedaran 100 unit kenderaan elektrik smart #1

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Dis - smart Malaysia mencatatkan pencapaian luar biasa dengan pengedaran sebanyak 100 unit kenderaan elektrik (EV) smart #1 dalam tempoh satu bulan, baru-baru ini. 

 

Kejayaan penghantaran itu didorong kerjasama 10 cawangan pengedar smart #1 yang terletak di lokasi strategik, memastikan majoriti pembeli menerima kereta mereka dalam masa yang singkat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang berkata, pengedaran 100 unit smart #1 EV yang menembusi catatan rekod pengedaran paling singkat amat menggembirakan pihaknya. 

 

"Ia membuktikan kereta kami diterima segmen pembeli yang menitikberatkan gaya dan keperibadian. 

 

"Mereka tidak hanya mencari mobiliti; mereka menghargai gabungan teknologi, keselamatan, dan ketersambungan yang ditawarkan oleh smart #1 kami. Kami gembira melihat pelanggan menemui kualiti ini di dalam kereta kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Selain itu, kemudahan aplikasi digital yang canggih dan komprehensif mengukuhkan lagi kejayaan itu, menjadikan proses pembelian kenderaan menjadi cepat dan efisien, dari tempahan hinggalah permohonan pinjaman sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap perkhidmatan jualan.

 

Di samping itu, smart Malaysia turut berbangga dengan stok kenderaan yang tersedia jauh lebih awal sebelum pelancaran rasmi smart #1. 

 

 

smart

 

 

Dalam perkembangan lain, para pelanggan turut berkongsi kepuasan mereka terhadap smart #1, mengiktiraf nilai yang menggabungkan teknologi canggih, reka bentuk bergaya, keselesaan luar biasa, dan sistem ketersambungan yang lancar. 

 

Sebagai tanda terima kasih daripada smart Malaysia, para pelanggan awal mendapat jaminan dengan tawaran istimewa iaitu pengecas rumah smartCharge percuma bernilai RM3,200 beserta jaminan selama dua tahun.  

 

Inisiatif itu mampu meningkatkan pengalaman pengecasan pelanggan, menjadikan transisi ke mobiliti elektrik lebih mudah dan bermanfaat.

 

Tawaran berkenaan juga dilengkapkan dengan pakej jaminan standard untuk memberi pengalaman pembelian yang menyakinkan. 

 

Ia adalah cara untuk menyampaikan penghargaan kepada para pelanggan kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan smart #1 sejak awal pihaknya bertapak di sini. - DagangNews.com