SME BANK lancar Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion | DagangNews Skip to main content

SME BANK lancar Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, SME Bank memperkenalkan Program Sukuk Wakalah bernilai RM3 bilion dan bakal menjadi Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) pertama di negara ini yang menerbitkan Sukuk Kelestarian bagi memenuhi keperluan dana dan modal kerjanya.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penerbitan Sukuk Kelestarian oleh SME Bank tepat pada masanya kerana terdapat keperluan untuk menyeimbangkan antara menjalankan perniagaan dalam mendapatkan keuntungan dan melakukan kebaikan bagi memenuhi tanggungjawab agensi terhadap faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG). 

 

“Usaha SME Bank untuk menjadi sebahagian daripada trend global merupakan satu langkah yang bijak bagi menjamin jejak kewangan yang kukuh dalam landskap kewangan negara buat masa sekarang dan pada masa akan datang.

 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

"Mengambil daripada perkembangan signifikan ini, satu persoalan penting muncul iaitu, di manakah tahap kedudukan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) kita sekarang dalam meletakkan ESG sebagai sebahagian DNA mereka? 

 

“ESG akan menjadi satu norma pada masa hadapan dan PKS kita perlu bersedia untuk menerima pakai prinsip-prinsip ini dalam operasi harian mereka. Kerajaan, pihak bank dan pihak berkepentingan yang memiliki kemampuan untuk melakukan perubahan perlu memimpin dan mendorong transformasi berterusan PKS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Agenda kelestarian SME Bank juga selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi Bank Negara Malaysia (BNM), yang menekankan tentang kepentingan IKP untuk memasukkan ‘additionality’ sebagai sebahagian daripada operasi perniagaan mereka.

 

Ini bertujuan menggalakkan hasil pembangunan yang lebih besar dan memperkukuhkan akauntabiliti mereka sebagai institusi awam. 

 

Penasihat Utama Tunggal atau Pengatur Utama Tunggal untuk pelaksanaan program Sukuk Kelestarian itu adalah RHB Investment Bank Berhad dan Pengurus Pemimpin Bersama (JLM) adalah AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan juga RHB Investment Bank Berhad. 

 

Hari ini, SME Bank dan JLM telah mengadakan Pembentangan Pelabur Kumpulan secara dalam talian yang menerangkan mengenai Program Sukuk Wakalah dan sasaran penerbitan Sukuk Kelestarian sulungnya kepada pelabur yang berpotensi dan berminat.

 

Sementara itu, Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff berkata, SME Bank terus memenuhi mandatnya untuk memupuk dan membangunkan PKS negara, dengan sokongan padu daripada kerajaan dan semua pihak berkepentingan. 

 

Nazir Ariff
Nazir Ariff

 

Penarafan AAAIS yang diberikan oleh Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) untuk Program Sukuk Wakalah tersebut merupakan bukti kekuatan dan komitmen agensi tersebut dalam mendukung mandat berkenaan, ujar beliau. 

 

Menurut Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, hasil daripada penerbitan Sukuk Kelestarian ini akan disalurkan untuk membiayai projek-projek yang secara langsung menyokong 11 dari 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

 

Aria Putera Ismail
Aria Putera Ismail

 

11 kategori yang terpilih diselaraskan dengan kategori projek hijau dan sosial yang diakui oleh Piawaian Bon Lestari ASEAN (ASEAN SUS), Piawaian Bon Sosial ASEAN (ASEAN SBS) dan Piawaian Bon Hijau ASEAN (ASEAN GBS) yang dikeluarkan oleh Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF). 

 

Di samping itu, 11 kategori ini juga diselaraskan dengan Garis Panduan Bon Lestari (SBG), Prinsip Bon Hijau (GBP) dan Prinsip Bon Sosial (SBP) yang dikeluarkan oleh Persatuan Pasaran Modal Antarabangsa (ICMA) dan mengikuti garis panduan standard dari Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). - DagangNews.com