KUALA LUMPUR 20 Julai - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) meneruskan inisiatif Jom XCESS dengan menawarkan kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah.
SME Bank telah mengenal pasti pemangkin utama sektor perniagaan bagi Sabah terdiri daripada usahawan industri pembuatan, pembinaan serta pelancongan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata SME Bank telah menganjurkan tiga sesi Jom XCESS yang melibatkan sejumlah 311 usahawan PMKS dari wilayah utara, Kuala Lumpur dan pantai timur.
“Sebagai langkah menyokong inisiatif ini, wakil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut memberi taklimat tentang Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV) bagi meningkatkan penglibatan syarikat vendor dalam pasaran domestik dan antarabangsa,” kata beliau semasa majlis perasmian program Jom XCESS Sabah hari ini.
Menurut Ewon, KUSKOP juga telah menyediakan pelbagai dana pemudah cara bagi meningkatkan kapasiti usahawan seperti Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial SME Bank bernilai RM20 juta.
Tambahnya, dana keseluruhan bernilai RM11.5 juta telah disediakan khusus untuk Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) laksanakan empat program pembangunan kapasiti keusahawanan btahun ini.
Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail menyatakan bahawa tahun ini SME Bank telah memproses dan meluluskan pembiayaan bernilai RM48 juta sehingga Jun.
Jelasnya, tiga portfolio utama SME Bank bagi Kota Kinabalu khususnya adalah perdagangan borong dan runcit, restoran dan perhotelan bernilai RM125 juta, diikuti pembinaan (RM71 juta) dan kewangan, insurans, hartanah dan aktiviti perniagaan (RM40 juta).
“Antara kemudahan pembiayaan yang ditawarkan pada Jom XCESS SME Bank edisi Wilayah Sabah ini termasuklah IBS Promotion Fund 2.0, Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG) serta Pembiayaan Pelancongan Penjana di samping pelbagai program pembiayaan yang lain. CEDAR turut hadir bagi sesi konsultasi tentang keperluan peningkatan kapasiti usahawan PMKS,” tambahnya.
Dalam majlis yang sama, SME Bank turut menyerahkan sumbangan kepada Sekolah Kebangsaan Pekan Pensiangan Komprehensif 9 bernilai RM25,000 untuk pembinaan dewan terbukanya. - DagangNews.com