SME Corp catat RM9.6 juta potensi jualan PKS selepas pembaharuan MoU Malaysia-Turkiye | DagangNews Skip to main content

SME Corp catat RM9.6 juta potensi jualan PKS selepas pembaharuan MoU Malaysia-Turkiye

(Dari kiri) Rizal Nainy, Emir Salim Yuksel dan Dr Fatih Gokyurt ketika memeterai pembaharuan MoU antara SME Corp dan KOSGEB di ibu negara, baru-baru ini. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Sept - SME Corp Malaysia mencatatkan satu lagi pencapaian membanggakan melalui pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) dengan Small and Medium Enterprise Development Organisation of Turkiye (KOSGEB), baru-baru ini.

 

Ia membuktikan komitmen padu oleh kedua-dua buah negara dalam meningkatkan hubungan dua hala dan menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). 

 

Pembaharuan MoU tersebut juga diperkukuh dengan pengumuman 'Global Be-Linked', iaitu inisiatif padanan perniagaan khusus untuk PMKS Malaysia dengan PMKS dari luar negara seperti Turkiye. 

 

Melalui penyertaan 12 firma dari Turkiye dan 37 PMKS dari Malaysia, sebanyak 42 sesi padanan perniagaan telah berjaya dilaksanakan yang menghasilkan potensi jualan bernilai hampir RM9.6 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, pihaknya bersedia untuk meneruskan komitmen dalam pembangunan PMKS di peringkat antarabangsa yang diterajui bersama oleh Malaysia dan Turkiye.

 

"Misi yang dijalinkan adalah jelas – mengukuhkan ikatan hubungan kedua-dua belah pihak, menerajui pembangunan PMKS, dan memanfaatkan potensi besar kepentingan bersama sedia ada," katanya dalam kenyataan media.

 

Turut hadir dalam majlis itu, Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel dan Naib Presiden KOSGEB, Dr Fatih Gökyurt.

 

 

Kerjasama antara kedua-dua belah pihak ini telahpun bermula sejak MoU pertama dimeterai pada 22 Februari 2011 dan diperbaharui pada 2017.

 

Mesyuarat di antara komuniti perniagaan Malaysia dan Turkiye merentasi beberapa sektor penting termasuklah Makanan & Minuman , industri halal dan juga Elektrik & Elektronik (E&E) yang berlandaskan kejayaan usaha sama terdahulu. 

 

Misi eksplorasi perdagangan ke Istanbul dan Sakarya pada Februari 2023 yang diketuai oleh SME Corp dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Industri Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI) serta disokong oleh KOSGEB, telah berjaya menjana jumlah nilai dagangan hampir RM1.1 bilion. - DagangNews.com