SME Corp gagal gunakan baki geran RM16.73 juta bagi manfaat PKS - Laporan Ketua Audit Negara | DagangNews Skip to main content

SME Corp gagal gunakan baki geran RM16.73 juta bagi manfaat PKS - Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR 10 Okt - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapati SME Corporation Malaysia (SME Corp) tidak membelanjakan baki geran Program SME Investment Partner (SIP) berjumlah RM16.73 juta.

 

Perkara itu dikesan Jabatan Audit Negara yang melakukan pengauditan pematuhan terhadap perbelanjaan geran pembangunan Program SIP dan Program Going Export (GoEx) oleh SME Corp.

 

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, pengauditan itu dilakukan bagi menentukan sama ada geran pembangunan bagi Program SIP dan Program GoEx yang diterima sudah dibelanjakan bagi tujuan yang diluluskan mengikut undang-undang, garis panduan, peraturan kewangan dan perjanjian yang berkuat kuasa.

 

Katanya, secara keseluruhannya, RM42.79 juta atau 71.9% peruntukan yang diterima sudah dibelanjakan dan memberi manfaat kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS).

 

"Bagaimanapun, baki geran pembangunan berjumlah RM16.73 juta (28.1%) yang tidak dibelanjakan adalah kos melepas kepada PKS dan kerajaan kerana peruntukan berkenaan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya dalam Laporan Ketua Audit 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

 

SME Corp adalah antara lapan agensi Persekutuan yang diaudit bagi Pengauditan Pematuhan yang mana secara keseluruhannya, berdasarkan skop dan sampel audit, terdapat ketidakpatuhan dalam pengurusan kewangan di agensi itu yang menyebabkan berlakunya isu kehilangan hasil, pembayaran tidak teratur dan pengurusan berjumlah RM108 juta.

 

Wan Suraya berkata, pihaknya mengesyorkan SME Corp supaya merancang dengan teliti dan mengambil kira semua keperluan PKS sebelum memohon peruntukan dana daripada kementerian bagi menjalankan program, lapor Berita Harian.

 

"Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan hendaklah memantau prestasi perbelanjaan program bagi memastikan geran yang diberi kepada agensi dibelanjakan," katanya. - DagangNews.com