SME Corp perkenal panduan pantas permudah amalan ESG kepada PMKS | DagangNews Skip to main content

SME Corp perkenal panduan pantas permudah amalan ESG kepada PMKS

Buku Panduan Pantas ESG untuk PMKS terbitan SME Corp.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - SME Corp Malaysia memperkenalkan buku Panduan Pantas ESG untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi mempermudah penerapan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) kepada PMKS.

 

Menteri Pembangunan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, panduan pantas itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya SME Corp dalam mempersiapkan PMKS dengan pemahaman mengenai kepentingan kelestarian serta amalan ESG. 

 

Beliau berkata, PMKS perlu melengkapkan operasi prniagaan dengan aspek berkaitan kelestarian atau penerapan ESG kerana kini ia semakin penting berikutan kebanyakan syarikat besar, syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah mula menerima pakai amalan ESG dalam operasi perniagaan mereka. 


Katanya, PMKS yang menerapkan amalan ESG bukan sahaja akan mempunyai impak sosial dan persekitaran yang positif, tetapi juga berpeluang menjadi sebahagiannya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pada majlis sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan buku panduan berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) Bilangan 1 Tahun 2024 di Putrajaya, baru-baru ini.

 

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy.

 

 

smecorp
(Dari kiri) Datuk Zamri Salleh, Datuk Ramanan Ramakrishnan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Ewon Benedick, Datuk Seri Suriani Ahmad, Datuk Phoong Jin Zhe dan Rizal Nainy ketika pelancaran buku Panduan Pantas ESG untuk PMKS di Putrajaya, baru-baru ini.

 

 

Sementara itu, Rizal berkata, panduan pantas itu mengandungi lapan langkah mudah untuk firma memahami kepentingan ESG dalam perniagaan mereka, menetapkan objektif, mengenal pasti petunjuk ESG yang berkaitan dengan perniagaan mereka, menghasilkan pelan tindakan kelestarian dan seterusnya menggunakan templat mudah untuk pelaporan ESG.

 

Katanya, panduan itu turut menyenaraikan 13 petunjuk asas yang boleh diguna pakai semua PMKS dan pemilihan petunjuk adalah berdasarkan kesesuaian serta keperluan minimum operasi perniagaan PMKS merentasi semua sektor, jenis entiti dan saiz firma. 

 

"Selain itu, ia juga merangkumi petunjuk penting untuk kemampanan perniagaan seperti faedah pekerja, budaya, pengurusan risiko dan perlindungan data yang kurang diamalkan oleh PMKS," katanya.

 

Buku Panduan Pantas ESG untuk PMKS itu diterbitkan dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Panduan tersebut boleh dimuat turun secara percuma apabila PMKS menjalani penilaian ESG di laman web SME Corp. - DagangNews.com