SHAH ALAM 25 Sept - Elemen perpaduan pelbagai kaum yang unik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Batu Arang di Selangor, menjadi tema pilihan para guru dan pelajar bagi penyertaan Peraduan Video Kreatif anjuran DagangNews bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023, baru-baru ini.
Penghasilan video tersebut berjaya merangkul tempat kedua sekali gus memenangi hadiah RM300 beserta sijil.
Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah tersebut, Noraini Ahmad berkata, seramai 33 pelajar dan guru terlibat dalam penghasilan video Merdeka berkenaan.
"Di sekolah ini merupakan pertemuan tiga bangsa dan budaya, jadi kenapa tidak kita menghasilkan video yang mempunyai elemen perpaduan yang ada di sekolah ini.
"Macam pelajar bukan Melayu tertarik dengan budaya kita, manakala pelajar Melayu lebih tertarik untuk belajar bahasa bangsa lain. Saya nampak ia suatu kekuatan dan mereka juga saling bantu-membantu sesama mereka," katanya ketika ditemui DagangNews di sini, hari ini.
Terdahulu, Editor Media Baharu DagangNews, Mohammad Naim Firdaus Abdul Aziz menyampaikan hadiah kemenangan tersebut kepada Noraini, yang turut disertai Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tuanku Abdul Rahman, Fatimah Resat bersama dua pelajar, Muhammad Kamarudin Shah Kadir dan Eric Marshall Benedict Lawerence Joseph.
Menurut Noraini, sesi penggambaran video itu mengambil tempoh selama 9 jam dari pukul 10 pagi hingga 7 malam di sekolah berkenaan.
"Lebih menarik ini merupakan kali pertama pihak sekolah pertandingan menghasilkan video kreatif," katanya.
Katanya, pihaknya berharap kejayaan meraih tempat kedua itu menjadi satu penanda aras dalam mengorak langkah untuk pergi lebih jauh pada masa hadapan.
LINK TIKTOK PEMENANG TEMPAT KEDUA: https://vt.tiktok.com/ZSNJRPTq9/
BACA JUGA: Nurul Liyana juara Peraduan Video Kreatif anjuran DagangNews
Pertandingan bertemakan Kemampanan, Keyakinan, Kesejahteraan, Hormat, Daya Cipta dan Ihsan ini terbuka kepada warga Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa dalam melahirkan individu yang memiliki idea dan daya kreatif sendiri.
Pemenang ditentukan di atas 70% penilaian berdasarkan kandungan dan jumlah SUKA (LIKE) serta TONTONAN (view) dan 30% juri hakim pihak penganjur. - DagangNews.com