Snowfit Group mula disenaraikan di Pasaran LEAP pada harga 16 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Snowfit Group mula disenaraikan di Pasaran LEAP pada harga 16 sen sesaham

KUALA LUMPUR 21 Jun - Penyedia peralatan urut dan kesejahteraan serta alat muzik dan aksesori, Snowfit Group Berhad mula disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities hari ini dengan mencatatkan premium empat sen apabila dibuka pada 16 sen sesaham, berbanding dengan harga rujukan 12 sen. 

 

Kira-kira 30,000 saham didagangkan semasa pembukaan dan penyenaraian itu merupakan yang ke-14, sementara yang kedua untuk Pasaran LEAP setakat ini bagi 2022.

 

Sebelum penyenaraian syarikat itu, sejumlah 29 pelabur termasuk pemegang saham utama, pengarah dan kakitangan pengurusan utama telah melanggan 21.1 juta saham baharu Snowfit, yang mewakili 10% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan pada harga langganan 12 sen sesaham.

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Snowfit, Low Cheng Yong berkata, syarikat mengumpul hasil kasar sebanyak RM2.53 juta dengan 15.8% atau RM400,000 diperuntukkan bagi penubuhan cawangan di Perak dan Pulau Pinang  yang masing-masing dijadualkan beroperasi pada suku ketiga dan keempat 2022.

 

Beliau berkata, 44.7% atau RM1.13 juta akan digunakan sebagai modal kerja manakala bakinya untuk perbelanjaan penyenaraian.

 

“Kami melihat pasaran cerah untuk industri ini memandangkan bahagian pasaran kerusi urut bagi isi rumah adalah rendah.

 

“Kami menyasar untuk terus berkembang ke seluruh Malaysia pada tahun-tahun akan datang dan berharap dapat disenaraikan di Pasaran ACE dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya.

 

Cheng Yong berkata, industri itu berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 23.4% daripada RM90.4 juta pada 2016 kepada RM209.6 juta pada 2020.

 

Ia diunjurkan berkembang pada CAGR 19.5% bagi tempoh 2021 hingga 2023 daripada RM242.1 juta kepada RM345.6 juta.

 

Mengenai kelebihan saingannya, beliau berkata kehadiran syarikat dalam pasaran bukan untuk bersaing, tetapi untuk saling melengkapi dan menghormati antara satu sama lain.

 

“Sebagai syarikat baharu, dengan anak muda yang menguruskan syarikat, kami percaya kebahagiaan akan mendorong produktiviti dan berharap kita semua dapat berkembang bersama-sama untuk memberikan perkhidmatan dan produk kesihatan dan kesejahteraan yang lebih baik di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com