Socar yakin dengan prospek pertumbuhan 2023 didorong perkembangan positif selepas PKPB | DagangNews Skip to main content

Socar yakin dengan prospek pertumbuhan 2023 didorong perkembangan positif selepas PKPB

KUALA LUMPUR 26 Jan - SOCAR Mobility Malaysia yakin dengan prospek pertumbuhannya pada 2023 diperkukuh oleh pencapaian sepanjang 2022.

 

Sejak sekatan perjalanan ditarik balik, platform kereta sewa merekodkan pertumbuhan bulan ke bulan yang memberangsangkan dengan 60% peningkatan daripada 5,000 pengguna semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat kepada lebih 20,000 pengguna.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shylendra Nathan berkata, keadaan itu menunjukkan permintaan untuk pilihan mobiliti dan kereta sewa sebagai pilihan untuk pemandu.

 

"Selepas ramai individu menilai semula komitmen kewangan mereka, Socar menawarkan akses mudah kepada pelbagai jenis model kereta bagi memenuhi keperluan mereka bagi memenuhi permintaan pelanggan.

 

"Kereta sewa juga menyediakan satu lagi mod mobiliti baharu dalam mengurangkan bilangan kereta persendirian di atas jalan raya selain melengkapi pengangkutan awam dan e-hailing," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

socar
Shylendra Nathan

 

Dalam memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, Socar mengembangkan rangkaian model kereta dalam kumpulannya kepada lebih 40 model, termasuk pilihan kompak, sedan, hatchback, SUV dan MPV untuk disesuaikan dengan pelbagai gaya hidup dan penggunaan.

 

Pada masa yang sama, Socar telah mengoptimumkan bilangan zon letak keretanya untuk memastikan ketersediaan yang mencukupi di seluruh negara bagi memenuhi keperluan pelanggan.

 

Perkhidmatan Socar juga boleh didapati di Kota Kinabalu selepas Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Melaka dan Johor Bahru. - DagangNews.com