Soft Space, Hong Leong Bank dan JCB bekerjasama tingkatkan penerimaan bayaran menerusi Kad JCB di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Soft Space, Hong Leong Bank dan JCB bekerjasama tingkatkan penerimaan bayaran menerusi Kad JCB di Malaysia

Joel Tay (kiri) memeterai perjanjian kerjasama dengan Yoshiki Kaneko bagi memacu penerimaan pembayaran menerusi Kad JCB di Malaysia.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Penyedia perkhidmatan teknologi kewangan (fintech), Soft Space Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian dengan syarikat kad kredit Jepun, JCB International Co., Ltd. dan Hong Leong Bank untuk memacu penerimaan pembayaraan menerusi Kad JCB di negara ini.

 

Malaysia menyasarkan kehadiran 16.1 juta pelancong antarabangsa yang mampu menjana RM49.2 bilion bagi tahun 2023. 

 

Jepun disenaraikan sebagai antara 10 penyumbang utama ketibaan dan perbelanjaan pelancong di negara ini.

 

Awal tahun lepas, JCB telah melabur AS$5 juta dalam Soft Space dalam satu siri kerjasama perniagaan yang bertujuan untuk memanfaatkan model perniagaan fintech, pengetahuan teknologi dan kawal selia, serta pengiktirafan global JCB.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Soft Space, Joel Tay berkata, memandangkan ketibaan pelancong Jepun di Malaysia kembali meningkat, pihaknya berbesar hati dapat mendayakan dan mempromosikan pembayaran rentas sempadan antara Jepun dan Malaysia melalui rakan kongsi mereka.

 

"Ini hanya merupakan langkah pertama dalam cita-cita kami untuk melancarkan perjanjian serupa di Asia Tenggara, meningkatkan penerimaan Kad JCB dan meneruskan gelombang peningkatan pembayaran kad tanpa sentuh di rantau ini.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

JCB
Andrew Jong (kiri), Joel Tay (tengah) dan Yoshiko Kaneko (kanan) memeterai perjanjian tiga hala untuk meningkatkan penerimaan bayaran menerusi Kad JCB di Malaysia.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCB International, Yoshiki Kaneko berkata, Malaysia merupakan destinasi penting untuk pemilik kad di rantau ASEAN dan usaha mewujudkan kerjasama dengan HLB merupakan satu langkah besar untuk pengembangan rangkaian penerimaan JCB di Malaysia.

 

"Kami kini boleh memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada ahli Kad JCB yang datang ke Malaysia bukan sahaja dari Jepun, tetapi juga dari rantau ASEAN dengan kami mempunyai lebih daripada 10 juta ahli," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Perkhidmatan Kewangan Peribadi di HLB, Andrew Jong berkata, kerjasama dengan JCB dan Soft Space ini membuktikan komitmen bank itu bagi menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan yang memenuhi keperluan pihak peniaga dan pelanggan mereka. 

 

“Usahasama ini membolehkan kami memberikan perkhidmatan kepada pelanggan yang lebih gemar dengan pilihan tanpa tunai serta meningkatkan pendapatan peniaga dan nilai transaksi pelanggan," katanya. DagangNews.com