Sokongan digital antara tumpuan pemerkasaan PKS dalam Bajet 2021 | DagangNews Skip to main content

Sokongan digital antara tumpuan pemerkasaan PKS dalam Bajet 2021

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Bagi menyokong pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kerajaan komited untuk mempermudahkan beberapa tumpuan sektor itu di bawah peruntukan Bajet 2021.

Ini termasuk sokongan digital bagi membantu perniagaan PKS dalam proses pemulihan mereka. 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya akan meneruskan sokongan peralihan digital dan automasi menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Prihatin Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin). 

“Kedua, untuk memastikan adaptasi digital. Rekod menunjukkan peralihan teknologi dan digital yang penting belum mencapai tahap kritikal dalam kalangan PKS. 

Kita perlu meningkatkan kesedaran bahawa dengan digitalisasi, PKS dapat menjangkaui pasaran yang lebih besar dan menembusi pasaran rantau,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Institusi Kewangan dan PKS ke-25 oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC), hari ini. 

Tambah Tengku Zafrul, kerajaan sedang mengkaji bagaimana kelestarian dapat menjadi asas di mana langkah-langkah berkaitan PKS diambil.

“Jadi, hari ini saya ingin mencabar CGS dan institusi kewangan. Saya ingin melihat lebih banyak usaha serius dalam menginovasikan produk dan perkhidmatan yang boleh memanfaatkan kelebihan kita ada dan memastikan dapat membantu PKS. 

“Ini sudah tentu akan meletakkan negara dalam kedudukan baik bagi fasa strategi 6R seterusnya. Memperkasa (revitalise), yang dapat disaksikan dalam Bajet 2021 pada 6 November 2020, dan seterusnya menyusun semula (Reform), digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, diumumkan pada Januari 2021.

“Oleh itu, CGC mungkin dapat mewujudkan anugerah ‘nafas baharu’ tahun hadapan, untuk menganugerahkan institusi kewangan yang menawarkan produk pembiayaan PKS paling inovatif,” kata Tengku Zafrul. - DagangNews.com