Solarvest beli empat tingkat ruang pejabat, runcit di Bangsar South berharga RM48.73 juta | DagangNews Skip to main content

Solarvest beli empat tingkat ruang pejabat, runcit di Bangsar South berharga RM48.73 juta

KUALA LUMPUR 14 Jun - Solarvest Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya, Solarvest Energy Sdn Bhd memeterai tiga perjanjian jual beli (SPA) bersyarat dengan BK Alliance Sdn Bhd bagi membeli empat tingkat ruang pejabat dan runcit terletak di atas bumbung di Menara Solarvest di Bangsar South pada harga RM48.73 juta.

 

BK Alliance terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan serta pemaju untuk Menara Solarvest, ia adalah anak syarikat milik penuh Chin Hin Group Property Bhd.

 

Menara Solarvest, yang merupakan menara pejabat 34 tingkat itu yang kini kira-kira 40% siap setakat 23 Mei 2024, ia masih dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang Mac 2028.

 

Solarvest berkata pertimbangan pembelian akan dipenuhi sepenuhnya secara tunai akan dibiayai menerusi gabungan dana dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

 

“Ia mewakili diskaun kira-kira RM70,000 atau 0.14% kepada nilai pasaran hartanah sebanyak RM48.8 juta berdasarkan penilaian yang dijalankan oleh penilai bebas,” kata pembekal solar bersepadu itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, lapor Bernama.

 

Cadangan pembelian itu akan membolehkan syarikat itu menubuhkan ibu pejabat baharunya dan memiliki premis perniagaan tetap untuk mengembangkan perniagaan, operasi dan kakitangannya.

 

"Menerusi cara itu, kumpulan dapat menyediakan kemudahan perniagaan yang sesuai dengan keperluan perniagaannya untuk kecekapan operasi dan kos lebih baik bagi jangka panjang.

 

“Selain itu, ia dijangka dapat memenuhi permintaan untuk ruang pejabat moden dan berkualiti kerana terletak secara strategik di Bangsar South sebagai antara lokasi paling popular di Lembah Klang,” katanya.

 

Solarvest berkata, cadangan pembelian itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan.

 

"Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, Menara Solarvest dijangka siap pada separuh kedua 2024," katanya.

 

M&A Securities Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat bagi cadangan itu.- DagangNews.com