KUALA LUMPUR 12 Jun - Solarvest Holdings Bhd dijangka meraih hasil antara RM600 juta hingga RM700 juta pada FY25 didorong peningkatan sumbangan projek luar negara, jualan pemaju projek dan perdagangan sijil tenaga boleh diperbaharui (REC).
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, jangkaan hasil itu adalah antara 1% dan 18% lebih tinggi daripada ramalan firma penyelidikan itu.
"Pengurusan menunjukkan nada yang lebih positif terhadap usaha pada FY25 bagi mencadapai tahap pendapatan antara RM600 juta hingga RM700 juta.
“Perubahan itu mungkin berpunca daripada sumbangan yang lebih baik daripada projek luar negara dan pemacu segmen lain seperti jualan pemaju projek dan perdagangan REC," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
HLIB berkata, walaupun buku pesanan Solarvest sebanyak RM242 juta adalah kecil, tetapi menjangkakan ia akan disokong oleh program kuasa hijau korporat (CGPP) selain pasaran komersial dan perindustrian (C&I) kekal teguh.
“Projek sedia ada akan menyumbang dari segi kewangan ke arah FY25.
"Kami berpendapat program seperti CGPP dan LSS (projek skala besar) akan mengekalkan pertumbuhan buku pesanannya pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.84 sesaham didorong peningkatan ramalan pendapatan FY25 dan FY26 kumpulan itu.
Solarvest melaporkan keputusan 4QFY24 dengan hasil sebanyak RM96.9 juta dan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM7.7 juta.
Ini menjadikan FY24 PATAMI teras kepada RM32.3 bilion, meningkat sebanyak 63.6% tahun ke tahun.
"Keputusan mengatasi unjuran kami tetapi mencapai jangkaan konsensus masing-masing pada 107% dan 102% daripada ramalan tahun penuh," katanya.- DagangNews.com