Solarvest guna teknologi First Solar untuk projek di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Solarvest guna teknologi First Solar untuk projek di Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Julai - First Solar Inc. akan membekalkan panel solar fotovoltaik (PV) dengan teknologi filem nipis termaju dnegan kapasiti 93 megawatt (MW) kepada Solarvest Holdings Bhd. 

 

Modul itu akan menggerakkan 4 projek yang sedang dibina sebagai sebahagian daripada Program Solar Berskala Besar (LSS) Malaysia dengan penghantaran dijangka antara Julai dan Oktober 2022.

 

Solarvest akan menggunakan modul Siri 6 First Solar untuk projek yang terletak di Selangor, Perak, dan Kedah.

 

Kira-kira 75 MW daripada jumlah pesanan itu dijangka diperoleh daripada kemudahan pembuatan First Solar di Kulim.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Solarvest, Davis Chong berkata, pihaknya sangat teruja untuk menggunakan teknologi filem nipis First Solar, termasuk panel solar yang dibuat di Pulau Pinang, untuk menggerakkan projeknya di Malaysia.

 

Katanya, penggunaan panel solar termaju ini akan menyerlahkan lagi kelebihan penyelesaian kejuruteraannya untuk memaksimumkan hasil tenaga.

 

"Gabungan ini sudah pasti akan meningkatkan daya saing projek kami. Selain itu, ini juga merupakan sebahagian daripada strategi kami untuk mengurangkan risiko penumpuan berhubung amalan perolehan kami, terutamanya dengan mengambil kira ketidaktentuan dalam rantaian bekalan global hari ini.

 

"Kepelbagaian sumber menggalakkan kestabilan yang lebih besar untuk Solarvest memandangkan kami sentiasa berusaha untuk meningkatkannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Direka dan dibangunkan di pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di California dan Ohio, modul PV filem nipis termaju First Solar memberi penanda aras industri untuk kualiti, ketahanan, kebolehpercayaan, reka bentuk dan prestasi alam sekitar.

 

Modul itu mempunyai jejak karbon terkecil, masa bayaran balik tenaga terpantas dan jejak kitaran hayat air terendah dalam industri.

 

First Solar bertapak di Malaysia sejak 2007 dan kini mengendalikan kilang pembuatan berkapasiti 3.3 gigawatt (GW) di Pulau Pinang. 

 

Sebagai tambahan kepada kemudahan pembuatan di negara ini, First Solar juga mengendalikan kilang di Vietnam dan Amerika Syarikat, dengan membina kilangnya yang ketiga.

 

Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Global First Solar, Adam Smith berkata, syarikat berbangga dengan teknologi modul yang dibangunkannya akan memainkan peranan dalam membantu negara mencapai matlamat tenaga bersih. 

 

"Perjanjian ini mewakili komitmen kami untuk menggunakan teknologi modul berprestasi tinggi dan kecekapan eko pada skala di Malaysia," katanya. - DagangNews.com