KUALA LUMPUR 19 Mac - SOLS Energy memperkenalkan inisiatif baharu 'Program Langganan Solar Rumah' kepada pemilik rumah di negara ini.
Syarikat itu berkata, program inovatif SOLS Energy itu merupakan pencapaian terpenting dalam industri yang memudahkan pemilik rumah menggunakan sistem tenaga solar tanpa bebanan kewangan seperti sebelum ini.
Katanya, dalam usaha membentuk semula landskap penggunaan tenaga solar di Malaysia, program itu diperkenalkan dengan matlamat utama menggalakkan penggunaan kuasa solar secara meluas dalam kalangan isi rumah di seluruh negara.
"Berbeza dengan inisiatif solar konvensional, Program Langganan Solar Rumah akan menawarkan tempoh pulangan pelaburan yang segera dan seterusnya mengurangkan tempoh menunggu yang panjang bagi pengguna mendapat kembali kos pelaburan awal.
"Peserta program akan mendapat manfaat daripada kadar yuran tetap sebanyak RM0.46 per kilowatt-jam (kWh) untuk tempoh dua dekad dan menikmati penjimatan berbanding kadar grid kebangsaan semasa sebanyak RM0.57/kWh.
"Kadar tetap ini memastikan kestabilan dan kebolehramalan dalam kos tenaga, memberikan rasional ekonomi yang menarik untuk pemilik rumah beralih kepada penggunaan kuasa solar," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SOLS Energy, Raj Ridvan Singh berkata, program itu memudahkan keseluruhan proses dengan menyediakan pemilik rumah peralihan yang lancar kepada penggunaan tenaga solar.
"Dengan menggunakan tenaga solar, pemilik rumah bukan sahaja mampu mengawal kos penggunaan tenaga elektrik mereka tetapi juga memainkan peranan penting dalam membawa perubahan kepada alam sekitar yang positif.
"Mereka mampu berjimat dengan banyak sambil menawarkan masa depan yang lebih bersih dan hijau untuk generasi akan datang," katanya.
Menurut kenyataan itu, program itu telah menghasilkan penjimatan bil elektrik tahunan sebanyak RM13.4 juta untuk pelanggan dan mengelakkan pencemaran karbon yang ketara seperti menanam 418,500 pokok.
Katanya, salah satu faedah utama program adalah mengelakkan pembiayaan kad kredit atau pembiayaan pinjaman dan seterusnya memastikan pelanggan tidak menanggung hutang.
"Pelanggan juga akan menerima jaminan perkakas solar PV selama 20 tahun tanpa bayaran tambahan yang memberikan kebolehpercayaan dan ketenangan fikiran," katanya. - DagangNews.com