Solution-DKSH berkolaborasi edarkan vaksin CanSino di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Solution-DKSH berkolaborasi edarkan vaksin CanSino di Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Sept. - Solution Group Berhad (SGB) bekerjasama dengan DKSH Holdings (Malaysia) Berhad untuk mempercepatkan pengedaran vaksin keluaran CanSino Biologics Inc atau dikenali sebagai Convidecia di dalam negara.

 

Pengarah Urusan Kumpulan SGB, Barry Lim berkata, pihaknya bekerjasama dengan DKSH Malaysia untuk menghantar dos vaksin tersebut ke pusat-pusat vaksinasi Kementerian Kesihatan (KKM) dengan lebih cekap dan secepat yang mungkin, selain memastikan ia diedarkan dengan selamat.

 

“Lebih banyak dos akan tersedia tidak lama lagi memandangkan kami mendapat bekalan daripada CanSino dalam bentuk dos yang siap dan Bahan Farmaseutikal Aktif (API) pukal,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebagai rekod, DKSH Malaysia telah dilantik oleh KKM untuk mengendalikan aspek logistik dan pengedaran vaksin tersebut, sementara SGB menerusi anak syarikat milik penuhnya, Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO) merupakan pengedar dan rakan pembuatan eksklusif CanSino di ASEAN.

 

Mereka dalam masa sama juga berhasrat untuk bekerjasama dalam membekalkan vaksin Convidecia kepada sektor swasta secepat mungkin.

 

“Kami menjangkakan dapat membekalkannya ke sektor swasta secepat mungkin selepas selesai membekalkan vaksin CanSino kepada kerajaan,” tambah Lim lanjut.

 

Sementara itu, Naib Presiden Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan, DKSH Malaysia, Gary Chee berkata, pihaknya mempunyai rangkaian dan pengalaman untuk menyediakan perkhidmatan rantaian sejuk dengan selamat pada suhu yang diperlukan untuk menyimpan Convidecia.

 

“Pusat pengedaran penjagaan kesihatan kami di Shah Alam, Selangor yang diiktiraf ISO mempunyai infrastruktur sedia ada untuk menyimpan vaksin itu dengan selamat sebelum dibawa ke pelbagai pusat vaksinasi di seluruh negara.

 

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan SGB untuk membekalkan vaksin itu kepada sektor swasta. Infrastruktur logistik kami mempunyai keupayaan untuk memastikan pemindahan dos vaksin yang lancar dan cekap ke seluruh negara,” katanya. - DagangNews.com