KUALA LUMPUR 10 Nov – Solution Group Berhad (SGB) menubuhkan subsidiari baru, Solution Medicinals Sdn. Bhd (SOLMED) secara usahasama dengan Bioarc Asia Sdn. Bhd., syarikat milikan 100% Australia yang diterajui oleh Bioarc Limited, sebuah syarikat kanabis perubatan.
SOLMED telah ditubuhkan bagi merealisasikan impian SGB untuk menceburi bidang Kanabis Perubatan.
Ini sejajar dengan pelan diversifikasi SGB yang ingin turut terlibat di dalam industri biofarmaseutikal secara proaktif.
Tahun lepas, satu daripada subsidiari SGB telah menghasilkan fasiliti Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Procedures) bagi memformulasi, membekalkan dan menyiapkan vaksin CanSino COVID-19 di Malaysia.
Selaras dengan kenyataan terbaharu Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) yang mengalu-alukan ujian klinikal terhadap produk yang mengandungi ekstrak Kanabis untuk tujuan perubatan, SOLMED terlebih dahulu melihat kepada langkah untuk mendaftarkan ubat-ubatan bersifat dominan-CBD.
Ini sebagai langkah awal sebelum mereka diberi peluang untuk mengkaji kompaun dan rawatan spesifik bagi membantu pesakit memperoleh faedah dari Kanabis Perubatan apabila penggunaannya tidak lagi salah dari segi undang-undang.
Ketua Pegawai Eksekutif SOLMED, Dato’ Mohd Nazlee Kamal berkata, pandemik yang masih berterusan di serata dunia sehingga kini meninggalkan kesan yang ketara termasuk peningkatan masalah dari segi kesihatan fizikal dan mental di kalangan populasi kebanyakan negara.
Ini menyebabkan lebih ramai yang prihatin dengan penjagaan kesihatan, kesejahteraan, dan penjagaan diri. Ianya secara tidak langsung telah memberikan impak yang positif kepada industri Kanabis, kerana semakin ramai warga masyarakat global, termasuk penduduk Malaysia, yang ingin mencari penyelesaian alternatif bagi penjagaan kesihatan mereka.
“Menerusi kolaborasi yang kukuh, dan kajian yang lebih menyeluruh, disertakan dengan kemunculan produk yang pelbagai dan inovatif, kami berharap ini boleh membuka ruang kepada sektor Kanabis untuk terus maju di rantau ini, seterusnya menjadikan Malaysia salah satu pemain utama di dalam industri tersebut,” kata beliau.
Bioarc merupakan syarikat Kanabis Perubatan yang menumpu kepada pembangunan kultivar bertujuan membangunkan kualiti agronomik dan terapeutik di dalam produk.
Objektif Bioarc adalah untuk menyediakan hasil yang terbaik bermula dari proses penyemaian benih sehinggalah ia dibekalkan kepada pesakit.
Ketua Pegawai Eksekutif Bioarc, Mark Lorrigan menjelaskan, Bioarc begitu teruja dengan peluang yang terdapat di Malaysia dan Asia Tenggara.
“Kami melihat jalinan usaha sama bersama SGB ini amat selari dengan misi dan objektif global kami.
“Bagi pihak Bioarc, kami akan menumpukan perhatian kepada aspek kualiti agronomik dan terapeutik Kanabis terutamanya dari perspektif hortikultur dan sains tumbuhan,” katanya.
Fokus SOLMED pula tertumpu kepada pembangunan tumbuhan dalam penghasilan produk yang akan menangani isu penggunaan Kanabis untuk tujuan perubatan di Malaysia dan di rantau ini.
“Ini akan memberikan jalan alternatif kepada para pesakit dan pengamal perubatan terutamanya dengan pilihan yang amat terhad di dalam pengurusan isu kesihatan fizikal dan mental, dan ini tentunya akan membantu mereka yang amat bergantung kepada Kanabis Perubatan,” katanya.
Solution Group Berhad adalah syarikat pelaburan berhad, tersenarai di dalam pasaran ACE di Bursa Malaysia Berhad semenjak 1 Ogos 2005. – DagangNews.com